ARKIB : 10/05/2008
PETALING JAYA Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) mahu mengenakan syarat baru berkaitan moral pemain di luar
padang yang mampu menamatkan kontrak pemain tempatan, asing mahu pun jurulatih
semua pasukan Liga Malaysia sekiranya mereka terlibat dengan gejala rasuah atau
ditangkap khalwat, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Mereka yang disabitkan
kesalahan dari segi undang-undang jenayah, sivil dan syariah itu bakal menjadi
sasaran hukuman FAM dan ahli gabungannya apabila cadangan melaksanakannya
dipanjangkan kepada Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) yang akan bersidang di ibu
kota, 17 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa
Peraturan FAM, Afandi Hamzah berkata, syarat moral dalam kontrak mereka amat
penting dikenakan kerana seseorang pemain bola sepak profesional sekarang sudah
boleh dianggap sebagai tokoh teladan umum atau berstatus selebriti kepada
generasi muda.
Syarat baru kontrak ini
bertujuan membendung dan mengatasi salah laku itu walaupun ketika di luar
padang kerana menjadi tanggungjawab mereka juga untuk sentiasa menunjukkan
contoh yang baik kepada generasi muda khususnya peminat bola sepak dan sukan
tanah air, katanya.
Jawatankuasa juga menyarankan
supaya salah satu syarat baru kontrak pemain musim depan ialah mereka
mengisytiharkan hartanya dan ahli keluarga terdekat sebagai salah satu langkah
membendung gejala rasuah atau mengatur keputusan perlawanan, katanya di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut Afandi yang juga Naib
Presiden FAM, mereka mungkin mengambil beberapa kaedah dan panduan Badan
Pencegah Rasuah (BPR) dalam syarat pengisytiharan harta pemain bola sepak itu
seperti mana yang dikenakan ke atas kesemua pegawai dan kakitangan kerajaan
ketika ini.
Kami juga menggesa persatuan
bola sepak (FA) negeri bertindak tegas terhadap pemain dan jurulatih yang
terbabit dengan gejala moral ini dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa
dan FAM jika mereka mendapati berlakunya sesuatu yang tidak kena, katanya.
Bagaimanapun Afandi berkata,
FAM masih cuba menghalusi cadangan syarat moral itu dengan sebaik mungkin
kerana tidak mahu dianggap cuba melampaui batas undang-undang negara atau
melanggari hak asasi mereka yang terlibat.
Malah dari segi pengisytiharan
harta dalam kontrak itu, kami akan cuba menetapkan ahli keluarga terdekat
pemain atau jurulatih manakah yang perlu diambil kira berdasarkan panduan dan
peraturan yang digunakan oleh BPR dan kerajaan, katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zRrjvWaQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan