Sabtu, 25 November 2017

Malaysia bermula langkah longlai

ARKIB : 16/05/2008
PETALING JAYA - Malaysia tersungkur lesu dibenam Ireland 3-1 ketika membuka tirai Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 tahun Kumpulan A Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Gagal mencari jawapan selain kekurangan saiz badan untuk menandingi skuad bimbingan Don Givens, membuatkan anak didik B. Sathianathan kecundang sekali pun sempat mencipta beberapa peluang jaringan.

Pasukan pelawat membolos gawang tuan rumah dengan dua jaringan Michael Collins pada minit ke-23 dan 29 selain satu menerusi ketua pasukan, Stephen Ward di minit ke-57.

Hanya satu gol sagu hati hasil tandukan penyerang utama, Safee Sali dalam masa kecederaan permainan sempat menjadi sedikit penawar luka sulung skuad negara.

Namun, seawal minit kesembilan, skuad negara cuba menunjuk belang tetapi Safee Sali terlepas peluang emas untuk menanduk hantaran silang dari sebelah kanan oleh Amirulhadi Zainal ketika dia memiliki ruang terbaik untuk menewaskan penjaga gol Ireland, Shane Redmond.

Malaysia menguji kubu Ireland lagi pada minit ke-12 menerusi Zaquan Adha Radzak yang sempat menanduk, namun Redmond cuma berdiri selesa untuk mendakap kemas percubaan penyerang muda Negeri Sembilan itu.

Ireland bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila tandukan Michael Collins yang mencecah padang terlebih dulu menembusi kawalan Syed Adney Syed Hussein sekali gus mencipta gol pertama lawan pada minit ke-23.

Skuad bimbingan B. Sathianathan kian merana enam minit kemudian dengan gol kedua Collins yang merembat kencang kaki kanan tanpa dapat dicabar Syed Adney lagi.

Semangat pantang menyerah masih menemani skuad bawah 23 tahun negara sebaik sahaja membuka babak kedua sehingga Khryil Muhymeen Zambri nyaris merapatkan kedudukan jika rembatannya tidak dihadang seorang pemain pelawat.

Malangnya Ireland yang kerap menemui sasaran menerusi tandukan Stephen Ward, ketua pasukannya yang juga pemain kelab England, Wolverhampton hasil umpanan lambung William Clarke pada minit ke-57.

MALAYSIA: Syed Adney Syed Hussein, Norhafiz Zamani Misbah, Zaquan Adha Radzak, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar (S. Subramaniam), Shukor Adan, Khryril Muhymeen Zambri, Daudsu Jamaluddin, Bunyamin Umar, Ahmad Azlan Zainal (Nasriq Baharom), Amirulhadi Zainal.

IRELAND: Shane Redmond, James Berrett, David Elebert, Edward Nolan, Michael Spillane, Michael Collins, Keith Treacy, William Clarke, Darren Dennehy, Stephen Ward, Shane Lowry.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zVmXe1tE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan