Ahad, 26 November 2017

CYC batal - Sultan Ahmad Shah


 

ARKIB : 24/05/2008
Sultan Ahmad Shah (kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama atlet-atlet Sukma XII Pahang selepas upacara penyerahan bendera kontinjen di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.

KUANTAN - Muktamad! Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan membenarkan penganjuran Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) di negara ini seperti yang dijadualkan pada Ogos ini, lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Demikian keputusan tegas Presidennya, Sultan Ahmad Shah setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk tindakan penganjur kejohanan itu, Gifted Group Limited (GGL) yang membelakangkan peranan FAM dalam penganjuran kejohanan tersebut.

Sultan Ahmad Shah bertitah, apa-apa kejohanan yang ingin diadakan di Malaysia perlu mendapat persetujuan FAM dan bukannya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti mana yang dilakukan GGL.

''Sebagai Presiden FAM, saya berhak tentukan sama ada untuk membenarkan kejohanan dibuat atau tidak, mungkin penganjur fikir FAM tidak berhak buat keputusan, mungkin juga mereka terlupa, mereka rasa AFC sahaja yang ada kuasa," titah baginda ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Pahang 2008, di Wisma Belia, di sini semalam.

Kemelut penganjuran CYC bermula apabila GGL bertindak membelakangkan peranan FAM dalam kejohanan tersebut.

Ia bertambah serius apabila penganjur kejohanan itu dikatakan meminta kos tambahan dari hos venue iaitu Pahang dan Terengganu walaupun peruntukan sebanyak RM17 juta telah diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bukan sahaja kecewa dengan tindakan GGL yang mengendahkan peranan FAM, Sultan Ahmad Shah turut mempertikaikan 'pemberian' wang RM17 juta oleh KBS kepada GGL berhubung penganjuran itu yang dibuat tanpa meminta persetujuan badan bola sepak itu terlebih dahulu.

''KBS telah beri RM8 juta buat permulaan dan masih ada baki lagi RM9 juta, wang ini diberikan sewenang-wenangnya, ini satu jumlah yang banyak.

''Bagaimana wang ini boleh diberi, sedangkan FAM masih belum membenarkan penganjuran kejohanan, penganjur juga belum tentu akan bermain di sini, ini bukan jumlah yang sedikit, wang ini wang rakyat," titahnya.

Sedih dengan tindakan menonong KBS itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda pernah membangkitkan mengenai pemberian wang itu, namun tiada pihak yang tampil menjelaskan isu tersebut.

Sultan Ahmad Shah bertitah, FAM tidak terlibat dengan penganjuran kejohanan itu sejak dari mula lagi, malah baginda juga tidak mengetahui tentang persetujuan kejohanan yang dibuat antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan GGL.

Baginda dalam pada itu mengakui menerima surat daripada penganjur CYC yang meminta kerjasama FAM menganjurkan kejohanan tersebut, namun baginda menyifatkannya sudah agak terlambat.

''Nasi sudah jadi bubur, sepatutnya perkara ini perlu dibincang bersama dari awal lagi, sekarang sudah terlambat, kita (FAM) pun ada maruah, saya tak kecil hati, tapi ini bukan cara yang betul," titah baginda.

Ditanya bilakah keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada KBS, Sultan Ahmad Shah bertitah, ia tidak semestinya akan dimaklumkan kepada kementerian itu, tetapi menurut baginda, timbalannya, Khairy Jamaluddin mungkin akan diminta berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

''Jika CYC tak diadakan di Malaysia, kerugian bukan di pihak kita, biarlah mereka adakan kejohanan di tempat lain," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, baginda turut bertitah, kontinjen Pahang ke Sukan Malaysia ke-12 (Sukma XII) di Terengganu hujung bulan ini mensasarkan 45 pingat emas.

Titah baginda, jangkaan itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang kontinjen negeri pada kejohanan Sukma dua tahun lalu di Kedah yang menyaksikan Pahang menduduki tempat kedua berdasarkan kutipan pingat dengan 39 emas, 36 perak dan 32 gangsa.

''Pencapaian tersebut adalah yang terbaik sejak kejohanan Sukma diadakan, saya yakin Pahang akan membawa lebih kejayaan pada edisi kali ini.

''Saya yakin Pahang dah bersedia untuk menghadapi kejohanan dwi tahunan ini, saya juga percaya atlet Pahang mempunyai kelebihan dan mampu meraih kejayaan membanggakan pada Sukma Terengganu," titah baginda.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zWdmAErD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan