Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
KEJOHANAN Bola Sepak Undangan
Antara Benua menjadi medan terbaik menguji kemampuan skuad negara.
KEUPAYAAN skuad bola sepak
negara bakal diuji tujuh pasukan yang telah layak beraksi pada Sukan Olimpik di
Beijing pada Kejohanan Bola Sepak Undangan Antara Benua Bawah 23 yang
dijadualkan berlangsung Mei depan.
Brazil, Itali, Sepanyol, Jepun,
China, Afrika Selatan serta Bahrain disahkan akan beraksi pada kejohanan yang
julung kali diadakan itu sebelum mereka menghadapi temasya di Beijing Ogos
depan.
“Dengan perlawanan persahabatan
yang agak kurang tahun ini, saya lihat kejohanan undangan ini sebagai peluang
terbaik untuk memberi gambaran awal keupayaan sebenar kita sebelum Pestabola
Merdeka Ogos nanti,” kata Sathianathan semalam.
“Bukan senang untuk pemain muda
kita mendapat peluang berdepan dengan pasukan yang layak ke Sukan Olimpik. Jadi
pastinya peluang ini sesuatu yang jarang sekali datang dan sukar dipersiakan
begitu saja.
“Jadi, kita akan menggunakan
kejohanan ini sebaik mungkin sebagai pendedahan awal buat pemain dan juga
peluang terbaik memantapkan pasukan. Saya memang menyambut baik usaha yang dilakukan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini.”
Dalam perancangan baru
Sathianathan, tahun ini menyaksikan pembentukan dua skuad kebangsaan iaitu
pasukan A dan juga B yang akan mula menjalani latihan bermula 3 sehingga 6
Februari ini.
Pemain yang menyarung jersi
skuad Malaysia A terdiri daripada pemain senior yang beraksi dalam Liga
Malaysia selain pernah mewakili skuad kebangsaan.
Mereka akan menyertai dua
kejohanan utama tahun ini iaitu Pestabola Merdeka dan Piala ASEAN hujung tahun
ini.
Manakala skuad B pula akan
dibarisi pemain pelapis dan mereka akan membuat persiapan awal bagi menghadapi
temasya Sukan SEA di Laos tahun depan.
“Sudah pasti kita akan
menghantar skuad Malaysia A pada kejohanan ini kerana mereka adalah skuad utama
yang akan menggalas cabaran pada Pestabola Merdeka nanti.
“Tapi bagi pemain skuad A,
harus diingat bahawa mereka tidak semestinya akan terus kekal dalam skuad utama
ini. Jika mereka gagal menunjukkan peningkatan, mereka akan digantikan dengan
pemain dari skuad B,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, tarikh sebenar kejohanan ini masih belum
dipastikan kerana FAM masih menunggu jawapan daripada wakil negara berkenaan.
“Tarikh sebenar akan diumumkan
kemudian, tapi yang pastinya ia akan diadakan pada bulan Mei.
“Malah ada dua lagi negara
iaitu Argentina dan Korea Selatan berada dalam senarai menunggu sekiranya Jepun
dan China menolak undangan kita.
“Walau apa pun, saya tetap
lihat kejohanan ini adalah satu lagi usaha FAM untuk meningkatkan lagi prestasi
skuad kebangsaan di bawah bimbingan Sathia, dan ia juga pentas ujian terbaik
memantapkan lagi persefahaman sebelum misi utama Pestabola Merdeka Ogos nanti,”
kata Azzudin.
sumberArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4xNIB8q9U
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan