Sabtu, 25 November 2017

Masa suntuk punca kita kalah

ARKIB : 17/05/2008
PETALING JAYA – Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, B. Sathianathan bersikap ‘tidak mengapa’ ekoran kekalahan anak buahnya 1-3 kepada Ireland pada perlawanan sulung bola sepak Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya, kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kesebelasan utama Malaysia yang menguasai perlawanan itu tetap dihukum mudah dengan dua gol babak pertama oleh Michael Collins dan ketua pasukan, Stephen Ward biarpun Safee Sali merapatkan jurang jaringan dalam masa kecederaan.

“Saya menganggap sasaran lebih penting ialah Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN di Indonesia dan Thailand, Disember ini). Tidak mengapa dengan kekalahan ini kerana kami memang kesuntukan masa dalam persediaan menghadapinya.

“Tiga gol kami berpunca daripada kesilapan pemain sendiri. Ia tidak boleh diulangi dan perlu diatasi untuk perlawanan berikutnya (menghadapi Iraq, hari ini),” katanya yang merombak bek kiri Malaysia dengan menampilkan Asraruddin Putra Omar sebelum digantikan S. Subramaniam.

Sathianathan turut mencuba Safiq Rahim pada 20 minit terakhir babak kedua bagi menggantikan Bunyamin Umar dalam menambah sengat jentera serangan negara - Safee-Zaquan Adha Radzak yang kadangkala gagal menandingi saiz fizikal lawan yang tegap dan lampai.

Mengenai Iraq, katanya, beliau menghormati lawan dengan rekod pernah layak ke Sukan Olimpik Athens 2004 dan menduduki tempat keempat.

‘‘Mereka sebuah pasukan yang handal tetapi Malaysia belum menyerah untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

“Memandangkan Piala Antara Benua merupakan sebahagian persediaan ke AFF, setiap pemain dalam skuad 20 orang ini pasti mendapat peluang bermain,’’ ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zWL7Z2Tu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan