Ahad, 26 November 2017

Indonesia uji Malaysia di Surabaya

ARKIB : 06/06/2008
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan menampilkan adunan pemain bawah 23 tahun dengan tonggak senior pada kesebelasan utamanya apabila menghadapi Indonesia dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Surabaya, hari ini.

Ia tampak seperti eksperimen terbarunya selepas kerap bergantung kepada kebanyakan pemain bawah 23 tahun walaupun bagi perlawanan bertaraf senior seperti Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia 2010 pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Di gawang, Sathianathan menaruh kepercayaan buat kali pertamanya kepada penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias yang tidak pernah bermain di peringkat senior antarabangsa tetapi merupakan antara tonggak mempertahankan gelaran Liga Super Sang Kenari.

"Di benteng tengah, saya akan turunkan Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan Radzak sambil diapit Daudsu Jamaludin (bek kanan) dan Irwan Fadly Idrus selaku bek kiri," katanya kepada Utusan Malaysia menjelang perlawanan di Stadium Gelora 10 November, Timbaksari, Surabaya itu.

Turut hadir sebagai muka baru di bawah Sathianathan ialah Hardi Jaafar yang kali terakhir mewakili negara pada Piala Asia, Julai lalu dan tonggak tengah Perak itu bakal berganding bahu dengan ketua pasukan, Shukor Adan.

"Saya akan menggunakan kelincahan Amirulhadi Zainal di sayap kanan dan pengalaman Indra Putra Mahayuddin sebagai sayap kiri sementara Zaquan Adha Radzak dan Safee Sali selaku gandingan serangan Malaysia," katanya.

Mengenai Indonesia yang dibimbing Benny Dollo, Sathianthan berkata: ''Mereka pasti mempunyai kelebihan selain selaku tuan rumah apabila baru menimba pengalaman menentang kelab handalan Jerman, Bayern Munich (kalah 1-5 dalam persahabatan, bulan lalu).

"Saya dapati keadaan padang stadium ini tidak berapa elok bagi kami tetapi anggaran saya, perlawanan ini mampu disaksikan kira-kira 40,000 penonton tempatan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zZzz8w3R

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan