Ahad, 26 November 2017

Malaysia kempunan ke separuh akhir



ARKIB : 20/05/2008
PETALING JAYA – Malaysia hampir mengejutkan pasukan pilihan, skuad Olimpik Nigeria apabila mengikat pasukan itu 1-1 pada perlawanan Kumpulan A kejohanan bola sepak Piala Antara Benua di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Bagaimanapun, keputusan yang agak membanggakan itu tidak cukup untuk membawa skuad bimbingan B. Sathianathan mara ke separuh akhir kerana kekurangan jaringan gol berbanding Ireland yang akan mengiringi Nigeria.

Nigeria menjadi pilihan mengungguli Kumpulan A kerana dijangka tidak menghadapi masalah menewaskan Iraq pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, esok.

Pada perlawanan semalam, Safee Sali sekali lagi menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi rembatan padu dari dalam kawasan penalti.

Sebelum itu, Nigeria lebih dulu membuka jaringan menerusi Okorowanta Bernard pada minit kesembilan.

Walaupun pada awalnya pertemuan tersebut dijangka berat sebelah memandangkan Nigeria membariskan pemain yang bakal beraksi di sukan Olimpik Beijing Ogos ini namun skuad bawah 23 tahun negara membuktikan Malaysia bukan skuad belasahan.

Namun babak awal dikuasai Nigeria, yang sebahagian besar pemainnya beraksi dalam kelab di sekitar Eropah menggunakan kelebihan fizikal untuk mudah mematahkan asakan pemain negara.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Ireland dan Iraq seri tanpa jaringan pada perlawanan di Stadium Bolasepak Cheras.

Ireland bagaimanapun mengesahkan tempat ke separuh akhir tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan Iraq-Nigeria esok selepas mereka memiliki kelebihan jaringan berbanding Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWXT1SL2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan