Sabtu, 25 November 2017

Malaysia tebus kalah selepas 10 tahun

ARKIB : 29/04/2008
KUALA LUMPUR - Veteran Malaysia mencatat kemenangan sulung dalam tempoh 10 tahun ke atas Veteran Australia dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Barisan bimbingan Khaidir Buyong ini menang 3-1 hasil jaringan Khan Hung Meng dan Too Seng Fee selain satu gol sendiri pemain lawan dalam perlawanan yang tempohnya cuma dihadkan 70 minit itu dengan 35 minit bagi setiap babak.

Kemenangan ini turut menebus kekalahan 2-0 di Perth, Australia, tahun lalu dan beberapa siri kekalahan silam Veteran Malaysia yang membariskan ramai bekas pemain kebangsaan berusia 40 tahun ke atas.

Veteran Malaysia yang memiliki pemain yang lebih berstamina dan masih muda seperti Dollah Salleh, Ismail Ibrahim dan Annuar Abu Bakar yang kini bersama barisan jurulatih PKNS dan Selangor menguasai sebahagian besar perlawanan.

Dollah bagaimanapun tidak dapat mengulangi kemahiran menggeleceknya dan rembatan jarak jauh seperti era 80-an selepas tercedera kaki manakala asakan Ismail dan Annuar sentiasa menggugat kubu pelawat.

Namun, Veteran Australia masih dapat menembusi Malaysia sesekali menerusi ketua pasukannya, John Saunders sementara Zoran Barovic sempat mencemaskan V. Murugan, bekas penjaga gol Perak, Melaka, Polis, Kuala Lumpur, Telekom dan Public Bank.

Kata Khaidir yang juga Ahli Majlis Persatuan Pemain Bola Sepak Veteran Malaysia: "Perlawanan ini diadakan secara timbal balik dengan kami akan mengunjungi Perth pula pada September ini untuk menentang mereka.

"Selain itu kegiatan persatuan ini turut meliputi siri lawatan dan perlawanan persahabatan dengan Thailand dan India serta Kemboja."

Khaidir sebelum ini merupakan bekas pemain, jurulatih Selangor dan Malaysia.

Turut beraksi, semalam ialah Rashid Hassan, Too Sen Fee, Ho Hong Siong, Chen Wooi Haw manakala antara pemain Australia pula ialah David Evans (bekas tonggak import Sarawak) dan Veselin Smukic.
Sumber-Artikel Penuh: sumberhttp://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4zR7Vj62L

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan