ARKIB : 29/07/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
HEBAT... Andriy Shevchenko
mudah melepasi asakan John Terry (terbaring) dalam latihan di Shah Alam,
semalam.
SHAH ALAM Jurulatih skuad
Malaysia, B. Sathianathan buat pertama kali akan menggunakan formasi baru 4-1-4-1'
apabila menentang skuad bola sepak Liga Perdana England, Chelsea pada
perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Formasi baru itu agak janggal
berbanding tradisi 4-4-2, namun Sathianathan yakin format tersebut bakal
membawa hasil jika tidak menang sekalipun, sekurang-kurangnya ia dapat mengelak
daripada kekalahan besar.
Menerusi format 4-1-4-1, Safee
Sali akan diletakkan sebagai penyerang tunggal sambil dibantu empat pembantu
penyerang iaitu Khyril Muhymeen, Indra Putra Mahayuddin, Hardi Jaafar dan
Amirulhadi Zainal.
Turut disenaraikan untuk
mengisi posisi pembantu penyerang ialah Hairuddin Omar.
Ketua pasukan, Mohd. Shukor
Adan akan bertindak bersendirian di posisi tengah.
Empat pertahanan yang mendapat
kepercayaan Sathianathan untuk menyekat ketangkasan penyerang Chelsea ialah
Shafizan Hashim, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Abd. Razak dan Fauzi Nan
manakala posisi gawang diamanahkan di bahu Helmi Eliza Elias.
Menurut Sathianathan,
percaturan tersebut diharap dapat menghasilkan keputusan yang baik untuk skuad
kebangsaan.
Inilah format yang saya akan
gunakan untuk perlawanan menentang Chelsea esok (hari ini) yang mana ia
merupakan satu kelainan.
Format ini diharap akan dapat
mengekang kemaraan pemain penyerang Chelsea yang kita sedia maklum kesemua
bertaraf dunia.
Untuk kita menang ia memang
satu keputusan yang sukar untuk kita capai tetapi saya berharap kita dapat
mengelak daripada kekalahan besar seperti yang dialami oleh dua kelab di China,
baru-baru ini, katanya selepas latihan skuad Malaysia di Stadium Shah Alam,
semalam.
Tambah Sathianathan, selepas
melihat latihan skuad Chelsea semalam, dia menjangkakan jurulatih skuad The
Blues, Felipe Scolari akan menggunakan taktik percubaan dari jauh untuk
menghasilkan gol.
Katanya, penyerang handalan
Chelsea seperti Nicolas Anelka, Andriy Shevchenko, Frank Lampar dan Saloman
Kalou akan menjalankan tugas rembatan jauh untuk mencipta jaringan.
Untuk itu saya memberi
perhatian kepada pemain pertahanan supaya jangan hilang fokus dan lebih
berhati-hati.
Begitu juga Helmi Eliza di
posisi gawang akan dikerah supaya lebih tangkas untuk menangkis percubaan dari
jauh oleh para penyerang Chelsea.
Jika semua arahan dan taktik
yang saya gunakan ini dijelmakan oleh para pemain, saya yakin kita akan
mencatat satu keputusan yang membanggakan, katanya.
Menurut Sathianathan, para
pemain juga telah diingatkan supaya tidak berasa rendah diri apabila berdepan
pemain lawan yang berkelas dunia.
Beliau berkata, para pemain
cuma diminta beraksi seperti biasa dan melupakan perbezaan status dengan para
pemain Chelsea.
Malaysia akan beraksi menentang
Chelsea yang berada di sini sempena Siri Jelajah Asia 2008 dan perlawanan akan
bermula pada pukul 8.45 malam ini di Stadium Shah Alam
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zodJzYym
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan