ARKIB : 08/06/2008
KUALA LUMPUR - Ketumpulan
penyudah jelas mencengkam skuad negara di sebalik menguasai permainan dan
mencipta lebih banyak peluang pada perlawanan bola sepak persahabatan
antarabangsa menentang Indonesia di Surabaya, kelmarin.
Empat penyerang negara yang
turun ke Stadium Gelora 10 November, Tambaksari, Surabaya itu sepatutnya mampu
menukar keputusan 1-1 untuk menyebelahi mereka tetapi gagal menggunakan deretan
peluang keemasan terutama dalam situasi satu sama satu.
Gandingan Safee Sali-Zaquan
Adha Radzak yang membarisi kesebelasan utama sebelum digantikan oleh Akmal
Rizal Rakhli-Nizaruddin Yusof boleh dikatakan gagal dalam eksperimen jurulatih
negara, B. Sathianathan itu sebagai persediaan ke Kejohanan AFF, Disember ini.
Hanya tandukan gol pemain
tengah, Shukor Adan hasil sepakan sudut Hardi Jaafar pada minit ke-32 menjadi
penawar dan penyelamat Malaysia yang ketinggalan dengan jaringan penalti tuan
rumah yang meragukan daripada Bambang Pamungkas, tujuh minit sebelumnya.
Sathianathan berkata kepada
Utusan Malaysia, kami mendapat lebih banyak peluang terbuka untuk menjaringkan
gol tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami hampir menang jika masalah
penyudah pemain terutama ketika satu sama satu, dapat diatasi.
Saya juga menggunakan formasi
berbeza yang menampilkan ramai pemain senior, katanya yang kurang senang
dengan pemberian penalti kepada tuan rumah kerana bek tengah negara, Aidil
Zafuan Radzak mudah dipersalahkan walaupun tidak menyentuh Bambang.
Malaysia: Helmi Eliza Elias,
Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Irwan Fadly Idrus (S.
Subramaniam), Daudsu Jamaludin, Shukor Adan (K. Soley), Hardi Jaafar (Azi
Shahril Azmi), Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal (Khyril Muhymeen
Zambri), Zaquan Adha Radzak (Nizaruddin Yusof), Safee Sali (Akmal Rizal
Rakhli).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4za637j9r
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan