ARKIB : 12/05/2008
PETALING JAYA - Dua puluh enam
pasukan menganggotai Liga Super dan Liga Perdana musim ini tetapi tiada satu
pun yang mampu dipelawa untuk menguji skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Malaysia
sebagai persediaan menghadapi Piala Antara Benua yang bermula Khamis ini.
Hampir kesemua terutama sekali
pasukan handalan liga berehat panjang dan menjalani pemulihan menjelang Piala
Malaysia, bulan depan sekali gus menyebabkan jurulatih negara, B. Sathianathan
terpaksa berpuas hati dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa selain
sesi latihan harian.
Memburukkan keadaan ialah
kegagalan anak buahnya mengatasi skuad kebangsaan Maldives apabila diikat 1-1
di Stadium Petaling Jaya, kelmarin sehingga mencetuskan kebimbangan sama ada
mereka mampu mengharungi skuad belia Ireland, Iraq dan Nigeria dalam Kumpulan A
Piala Antara Benua.
"Banyak pasukan tempatan
kini masih bercuti (selepas liga berakhir 4 Mei). Kami tidak cukup perlawanan
persediaan selain tempoh persediaan ke Piala Antara Benua pun tidak sampai
sembilan hari dan Maldives cuma perlawanan antarabangsa pertama kami sejak
Sukan SEA Korat, lima bulan lalu.
"Saya tetap puas hati
dengan keputusan seri ini kerana kami menentang sebuah pasukan senior Maldives
yang telah tiga kali bermain (untuk menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak
Asia Selatan - SAFF)," katanya selepas perlawanan yang menyaksikan
jaringan Khyril Muhymeen Zambri dan Ali Ashfaq pada minit ke-29 dan 45 itu.
Menambah keperitan skuad negara
kelmarin ialah layangan kad kuning kedua sekali gus pembuangan padang oleh
pengadil Malaysia, Manjit Singh terhadap ketua pasukan Shukor Adan yang umpama
'hadiah pahit' buat hari jadi Sathianathan ke-50, Jumaat lalu.
Malaysia akan memulakan kempen
kejohanan kali pertama anjuran bersama Octagon Asia dan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) ini dengan menentang Ireland, Khamis ini; Iraq (Sabtu) dan
Nigeria (19 Mei) dengan kesemua perlawanan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya.
l SKUAD MALAYSIASyed Adney Syed
Hussein, Asraruddin Putra Omar, S. Subramaniam, Safiq Rahim, Norhafiz Zamani
Misbah, Nasriq Baharom, Zaquan Adha Radzak, Ashari Samsuddin, Daudsu
Jamaluddin, Shukor Adan, Shahurain Abu Samah, Khyril Muhymeen Zambri.
S. Kunanlan, Chun Keng Hong,
Bunyamin Umar, Farderin Kadir, Ahmad Azlan Zainal, Norshahrul Idlan Talaha,
Amirulhadi Zainal, Nasril Nourdin, Sumardi Hajalan, Azi Shahril Azmi, Baddrol
Bakhtiar, Zamri Chin, Farizal Marlias
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zRxaOxd4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan