Khamis, 30 November 2017

Cuma tiga wakil Kedah dipanggil

ARKIB : 27/08/2008
KUALA LUMPUR - Walaupun menunjukkan prestasi yang membanggakan, hanya tiga pemain daripada skuad juara tiga gelaran Liga Malaysia 2007- 2008, Kedah, dipanggil bagi menjalani latihan skuad bola sepak negara untuk menghadapi Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga 25 Oktober ini.

Helmi Eliza Elias, Khyril Muhymeen Zambri dan Shafizan Hashim yang berpeluang menentang gergasi Liga Perdana England, Chelsea, bulan lalu, disenaraikan semula tetapi bagaimana dengan kebanyakan pemain kesebelasan utama Kedah yang menjulang Piala Malaysia, Sabtu lalu?

Pencapaian Fadly Baharom, penjaring gol ketiga Si Kenari yang juga pemain tempatan dengan gol terbanyak Piala Malaysia (sembilan gol) juga bagaikan hanya dipandang sepi mahupun bek kanan, V. Thirumurugan, Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari atau Baddrol Bakhtiar.

Senarai pelatih skuad negara yang dikendalikan sementara oleh Mohd. Zaki Sheikh Ahmad bagaimanapun menamakan semula ketua pasukan Selangor - Shukor Adan di samping Indra Putra Mahayuddin, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Safee Sali.

Zaki mengambil alih selama tiga hari daripada ke tuanya, B. Sathianathan yang kini di New York sebagai memenuhi undangan kejohanan kemerdekaan Persatuan Malaysia-Amerika Syarikat sebelum skuad negara melawat Slovakia bagi siri persahabatan, bulan depan.

Turut disenaraikan dalam skuad negara ialah beberapa tonggak veteran yang sempat menentang Chelsea dan siri persahabatan antarabangsa dengan Indonesia dan India, Jun lalu.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zwfbFucx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 November 2017

4 kelab sahaja untuk Liga Super musim depan

ARKIB : 15/08/2008
KUALA LUMPUR - Hanya kelab UPB-MyTeam, Johor FC, Kuala Muda Naza dan KL PLUS akan beraksi dalam Liga Super tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , Datuk Che Mat Jusoh berkata, keputusan itu menjadikan sebanyak 20 kelab keseluruhan akan bertanding untuk merebut kejuaraan liga musim hadapan.

''Sebanyak 14 pasukan dari setiap negeri manakala dua lagi dari polis dan tentera.

''Keputusan itu diputuskan untuk tahun hadapan sahaja. Ia mungkin berubah pada tahun 2010 selepas kajian semula dibuat kelak,'' katanya selepas mesyuarat FAM dan melihat sendiri kualiti padang di Stadium Nasional di sini, semalam.

Tambahnya, pemilihan kelab itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan teratas pasukan itu sendiri di dalam liga.

''Kita harap kelab-kelab ini gembira dengan keputusan itu.

''Ia dilihat 'hadiah' kepada kelab yang menunjukkan prestasi baik dan cemerlang dalam liga selama ini,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ztaAMjwV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kit Kong calon utama


 

ARKIB : 09/08/2008
Liew Kit Kong (kanan) ketika beraksi dalam Piala Malaysia untuk Melaka.

KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjadi calon utama untuk memenangi anugerah Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM bulan depan selepas menerima undian tertinggi setakat ini.

Kecemerlangan Kit Kong menjaringkan 29 gol buat Kuala Muda Naza dalam Liga Perdana membolehkan pemain itu menerima undian tertinggi daripada peminat bola sepak negara dengan 52 peratus, yang dilakukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kit Kong, yang menyerlah ketika menyarung jersi kebangsaan pada Kejohanan Bola Sepak Asean 2004, mengatasi penyerang Selangor, Mohd. Safee Sali dengan 27 peratus undian.

Penyerang muda Negeri Sembilan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak pula menjadi pilihan ketiga peminat dengan 21 peratus.

"Saya gembira kerana peminat memberi perhatian kepada saya walaupun bermain di divisyen rendah (Liga Perdana).

"Bagaimanapun saya berharap menerusi anugerah ini dan kalau saya memenanginya, ia dapat membantu saya kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan,'' kata Kit Kong di sini semalam.

Sementara itu penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Alias menjadi calon utama memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik dengan jauh meninggalkan pencabar lain selepas meraih 86 peratus undian.

Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee di tempat kedua dengan 8 peratus, diikuti Mohd. Nasril Nourdin dari Perak (6).

Kedah mendominasi pencalonan Pemain Pertahanan dan Tengah Terbaik menerusi ketua pasukan, Victor Andrag dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, yang masing-masing menerima 75 dan 72 peratus.

Penyerang kontroversi negeri itu, Marlon Alex James mengetuai pencalonan Pemain Import Terbaik dengan 70 peratus undian, manakala pemain muda mereka, Fadly Baharom mendahului Pemain Paling Menyinar (79).

Jurulatih Kedah, Mohd. Azrai Khor Abdullah, yang menerajui skuad Kenari merangkul tiga kejuaraan musim lalu - Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA menjadi pilihan peminat untuk menerima anugerah Jurulatih Terbaik dengan 88 peratus undian.

Pemain yang menerima undian keseluruhan tertinggi akan memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai, manakala dua lagi anugerah - Kelab Peminat Terbaik dan Persatuan Bola Sepak Terbaik akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zt75vTE6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia lonjak ke tangga 162 dunia

ARKIB : 07/08/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia memperbaiki kedudukan dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak empat anak tangga untuk menduduki tempat ke-162.

Dalam senarai terakhir FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-166 di kalangan 199 negara.

Kedudukan Malaysia dibantu dengan keputusan seri 1-1 skuad bimbingan B. Sathianathan ketika menentang India di Hyderabad pada perlawanan persahabatan 23 Julai lepas.

Selepas pencapaian terbaik Malaysia pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75 dunia, status pasukan negara mengalami kemerosotan mendadak iaitu berada pada ranking ke-170 April lepas, yang terburuk sejak 1993.

Sementara itu, Sepanyol kekal di tangga paling atas selepas mengalahkan Jerman 1-0 pada perlawanan akhir Piala Eropah bulan lepas.

Dalam senarai ranking Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia naik dua anak tangga ke tempat ke-29 dan di kalangan negara-negara Asia Tenggara, negara berada di belakang Thailand (15), Singapura (19), Indonesia (22) dan Myanmar di tangga ke-27.

Malaysia berpeluang memperbaiki ranking apabila menyertai kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Disember ini.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4zssddnRj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Bola sepak tidak dipengaruhi pemain import

ARKIB : 05/08/2008
PUTRAJAYA - Mutu sukan bola sepak negara tidak pernah dipengaruhi langsung dengan cara permainan mana-mana pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya kehadiran pemain import dilihat hanya menyekat peluang untuk pemain tempatan melangkah lebih maju di dalam sukan itu.

''Kita nampak mutu pemain kita tidak bertambah baik dengan kehadiran pemain import ini. Pemain import ini juga bukan merupakan nama besar yang boleh menarik penonton ke stadium," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas pertemuan tertutup bersama wakil daripada 102 bekas pemain hoki negara di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin kelmarin yang memutuskan untuk menamatkan khidmat pemain import mulai musim depan kerana mereka didapati masih tidak mencapai mutu permainan yang sewajarnya dan gagal menarik kehadiran penonton ke stadium.

Namun, jelas Ismail Sabri, khidmat jurulatih asing pula perlu diteruskan malah diberi fokus untuk meningkatkan mutu permainan bola sepak negara.

Katanya, pemain import dilihat tidak akan berkongsi pengalaman dan melihat tindakan itu dilakukan untuk mengekalkan tempatnya di dalam sesebuah pasukan.

Ketika ditanya tentang persediaan akhir pasukan negara untuk Sukan Olimpik Beijing dan pasukan badminton yang akan berlepas malam ini, Ismail Sabri berkata: ''Kita minta mereka tidak takut dan tidak rasa rendah diri."

''Kita berjuang demi negara dan perlu buktikan kita boleh menjadi juara walaupun di tempat orang."
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrgdsMCP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ada sokong, ada menentang

ARKIB : 04/08/2008
Oleh ABD. HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghentikan penggunaan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia mulai musim depan mendapat reaksi berbeza daripada beberapa jurulatih dan pengurus tempatan sehingga ada segelintir daripada mereka kurang senang dengan langkah drastik itu.

Jurulatih negara, B. Sathianathan menyifatkan arahan itu sebagai satu langkah yang baik memandangkan ia telah membuka semula peluang untuk pemain tempatan khususnya penyerang membuktikan kemampuan sebenar.

"Taraf pemain import sekarang pun kecuali beberapa orang, tiada bezanya dengan pemain tempatan. Jadi jika mereka tiada, semua pasukan akan kembali berharapkan pemain tempatan dan keupayaan dan kemantapan skuad negara hanya boleh diukur menerusi pengalaman dan kekerapan bermain dalam liga.

"Kebanyakan pasukan memang gemar mengambil penyerang import dan tempatnya dalam kesebelasan utama sudah tetap kecuali jika ada kecederaan atau digantung.

"Saya fikir masanya (larangan pemain import) memang tepat sekali. Mengambil mereka memerlukan kos yang besar tetapi jika timbul masalah gaji pemain banyak pasukan tidak berbayar, mengapa perlu lagi diteruskan? Lebih baik kita berjimat cermat," katanya.

Sathianathan yang cukup terasa dengan ketandusan pengalaman pemain negara gara-gara kurang beraksi dalam perlawanan liga ketika menentang Chelsea Selasa lalu, mengulas mengenai keputusan Majlis FAM untuk menolak semula khidmat pemain import seperti yang dilakukan pada 1999 hingga 2001.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mendedahkan betapa kemunculan pemain import dalam Liga Malaysia masih gagal menyumbangkan sesuatu yang membina kepada kemajuan bola sepak negara apatah lagi tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan tiada daya tarikan penonton untuk menghadiri stadium.

Dalam pada itu, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah yang bakal kehilangan penjaring terbanyak liga, Marlon Alex James, Nelson Sam Martin dan Cornelius Bernard Huggings berkata: "Ia satu keputusan yang berat hati untuk diterima tetapi sebaliknya, ia memberikan ruang kepada semua negeri dan kelab mengerah bakat dan kemampuan sebenar pemain tempatan mereka khususnya belia.

"Mutu persaingan liga kita masih boleh meningkat sekalipun tanpa tonggak import dan mungkin inilah peluangnya untuk pemain tempatan mencapai kematangan dengan lebih pendedahan perlawanan," katanya.

Ramlan Rashid yang mengemudi Johor FC mara ke suku akhir Piala Malaysia daripada Kumpulan B, berkata: "Ada atau tidak pemain import pun bukan faktor utama kehadiran ramai penonton ke stadium. Selagi sesebuah pasukan itu yang tidak berjaya dalam sebarang pertandingan, pemain import mana pun tidak akan membantu. Ini memang budaya bola sepak kita."

Keputusan FAM bagaimanapun kurang disenangi pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang mendakwa telah menentangnya sejak sesi percambahan fikiran beberapa minggu terdahulu dengan menawarkan sedikit kelonggaran berhubung khidmat import.

"Ketika itu saya dengan Dollah Salleh (jurulatih Selangor) menyarankan supaya pasukan yang mempunyai kemampuan kewangan, bebas untuk mengambil pemain import kerana saya tidak nampak, kehadiran mereka boleh menimbulkan persaingan yang tidak adil kepada pasukan lain tanpa import," katanya.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim yang mengambil alih pasukan pada pertengahan musim liga daripada Abdul Rahman Ibrahim pula mempertikaikan ketepatan masa bagi FAM mengumumkan larangan itu sedangkan Piala Malaysia hanya akan berakhir bulan ini dengan turut melibatkan ramai lagi pemain import.

"Tumpuan dan prestasi pemain import saya pun agak terjejas. Mengapa langkah ini diumumkan terlalu awal? Piala Malaysia pun baru mahu nak masuk suku akhir dan khidmat mereka mungkin masih digunakan lagi dalam lima perlawanan termasuk sekiranya dua ke perlawanan akhir (23 Ogos)," katanya yang pernah menjadi jurulatih import Liga Indonesia di Persipura Jayapura.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zrU9trGD

© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM tubuh jawatankuasa atasi rasuah

ARKIB : 03/08/2008
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meng-umumkan penubuhan Jawatankuasa Ketelusan dan Pemantauan bagi menangani masalah rasuah dalam bola sepak tempatan.Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

''Penubuhan jawatankuasa tersebut bertepatan dengan gesaan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah supaya masalah rasuah dalam bola sepak di negara ini ditangani sebaik mungkin.

''Jawatankuasa itu turut dianggotai beberapa agensi kerajaan dan penguatkuasaan berkaitan.

''Ia akan memantau setiap laporan mengenai rasuah dalam sukan ini, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya,'' katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM di sini, semalam.

Isu rasuah kembali menghantui bola sepak negara apabila lima pemain sebuah negeri disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) manakala seorang bekas pemainnya ditahan reman kerana disyaki terbabit melakukannya dalam perlawanan Liga Super, April lalu.

Dalam masa yang sama sembilan orang pemain sebuah pasukan dalam Liga Super dipanggil memberikan keterangan kepada pengurusan pasukan ekoran persembahan buruk mereka.

Aseh merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Dalam pada itu, Khairy berkata, FAM menetapkan mulai musim depan, setiap pasukan dalam Liga Malaysia perlu menurunkan minimum seorang pemain bawah 20 tahun dan bukan lagi bawah 21 tahun.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk memberi lebih peluang kepada pemain muda beraksi.

''Langkah ini selaras dengan usaha membangunkan bola sepak di kalangan pemain muda.

''Kita juga memutuskan skuad Harimau Muda yang dibarisi pemain muda kekal beraksi dalam Liga Perdana pada musim depan,'' katanya.

Selaras dengan usaha membangunkan bola sepak tempatan, Khairy turut mengumumkan hanya pemain bawah 20 tahun dibenarkan beraksi dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka pada 2010
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrOTZzw8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ramuan Malaysia menjadi - Formula Sathia sekurang-kurangnya kekang Chelsea kenduri gol

ARKIB : 30/07/2008
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
dan SAYED HESHAM IDRIS
 
tonggak chelsea, Frank Lampard (tengah) diasak oleh dua pemain Malaysia, Hairuddin Omar (kiri) dan Mohd. Fauzie Nan (terjatuh) pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. – REUTERS

SHAH ALAM – Kelab terkemuka England, Chelsea seperti dijangka mudah menjinakkan skuad kebangsaan selepas menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Walaupun menerima sedikit tentangan daripada anak-anak buah B. Sathianathan, The Blues bijak mengambil kesempatan daripada gerakan tidak menjadi dan kerap kehilangan bola yang dilakukan pemain Malaysia untuk menjaringkan gol menerusi Nicolas Anelka (m-28) dan Ashley Cole (m-53).

Malaysia bagaimanapun tidak menyerah begitu sahaja, sebaliknya tetap mampu melakukan beberapa gerakan merbahaya, namun sayangnya tidak pula menepati sasaran.

Babak pertama corak permainan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih berhati-hati dalam mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing.

Namun, gerakan daripada Chelsea tampak lebih kemas dan berbahaya yang hanya mampu membuka jaringan sebaik kawalan Malaysia mula longgar dan kerap kehilangan bola ketika menyerang.

Gol pertama misalnya berpunca daripada satu serangan balas pantas selepas hantaran Mohd. Hardi Jaafar berjaya dirampas Joe Cole yang pantas melarikan bola dari bawah dan melorong kepada Anelka yang berada dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan Helmi Eliza Elias.

Pemain tengah muda negara, Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi sepakan leretnya dari luar kotak penalti pada minit ke-38 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Chelsea, Petr Cech sudah pun tertewas.

Itu sahaja peluang terbaik yang Malaysia peroleh sebelum rehat. Namun, saingan babak kedua bertambah rancak apabila pemain negara mula bermain lebih pantas ketika pemain-pemain Chelsea makin tampak keletihan.

Begitu pun tanpa menurunkan Michael Ballack dalam kesebelasan utama, Chelsea menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan gawang Malaysia masih tidak mampu dihalang untuk menjaringkan gol kedua.

Hasil gandingan tiga pemain sahaja telah memberi ruang kepada Ashley Cole untuk merembat menewaskan sekali lagi Helmi yang terpinga-pinga di depan gawang.

Selepas jaringan itu menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir merapatkan kedudukan apabila Zaquan Adha Razak hanya berdepan dengan Cech tetapi gagal meloloskan diri daripada halangan pada minit ke-65.

Biar pun berusaha keras mencari gol selepas itu, pemain negara mendapati sukar untuk menembusi gawang Chelsea sehingga tamat permainan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zohyqQ9B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chelsea mudah ratah Malaysia 2-0

ARKIB : 29/07/2008
29/07/2008 10:59pm

SHAH ALAM - Kelab terkemuka England, Chelsea seperti dijangka mudah meratah skuad kebangsaan selepas menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Walaupun menerima sedikit tentangan daripada anak-anak buah B. Sathianathan, The Blues bijak mengambil kesempatan daripada gerakan tidak menjadi dan kerap kehilangan bola yang dilakukan pemain Malaysia untuk menjaringkan gol menerusi Nicolas Anelka (m-28) dan Ashley Cole (m-53).

Malaysia bagaimanapun tidak menyerah begitu sahaja sebaliknya tetap mampu melakukan beberapa gerakan merbahaya namun sayangnya tidak pula menepati sasaran.

Babak pertama corak permainan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih berhati-hati dalam mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing.

Namun gerakan yang diatur Chelsea tampak lebih kemas dan merbahaya dan hanya mampu membuka jaringan sebaik kawalan Malaysia mula longgar dan kerap kehilangan bola ketika menyerang.

Gol pertama misalnya berpunca daripada satu serangan balas pantas selepas hantaran Mohd. Hardi Jaafar berjaya dirampas Joe Cole yang pantas melarikan bola dari bawah dan melorongkan kepada Anelka yang berada dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan Helmi Eliza Elias.

Pemain tengah muda negara, Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi sepakan leretnya dari luar kotak penalti pada minit ke-38 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Chelsea, Petr Cech sudah pun tertewas.

Itu sahaja peluang terbaik yang Malaysia peroleh sebelum rehat. Tetapi saingan babak kedua bertambah rancak apabila pemain negara mula bermain lebih pantas ketika pemain-pemain Chelsea makin tampak keletihan.

Begitu pun tanpa menurunkan Michael Ballack dalam kesebelasan utama, Chelsea menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan gawang Malaysia masih tidak mampu dihalang untuk menjaringkan gol kedua.

Hasil gandingan tiga pemain sahaja telah memberi ruang kepada Ashley Cole untuk merembat menewaskan sekali lagi Helmi yang terpinga-pinga di depan gawang.

Selepas jaringan itu menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir merapatkan kedudukan apabila Zaquan Adha Razak hanya berdepan dengan Cech tetapi gagal meloloskan diri daripada halangan pada minit ke-65.

Biar pun berusaha keras mencari gol selepas itu, pemain negara mendapati sukar untuk menembusi gawang Chelsea sehingga tamat permainan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz4zog9Pbm9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ramuan Sathia kekang Chelsea - Malaysia pertaruh formasi 4-1-4-1

ARKIB : 29/07/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

HEBAT... Andriy Shevchenko mudah melepasi asakan John Terry (terbaring) dalam latihan di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM – Jurulatih skuad Malaysia, B. Sathianathan buat pertama kali akan menggunakan formasi baru ‘4-1-4-1' apabila menentang skuad bola sepak Liga Perdana England, Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Formasi baru itu agak janggal berbanding tradisi 4-4-2, namun Sathianathan yakin format tersebut bakal membawa hasil jika tidak menang sekalipun, sekurang-kurangnya ia dapat mengelak daripada kekalahan besar.

Menerusi format 4-1-4-1, Safee Sali akan diletakkan sebagai penyerang tunggal sambil dibantu empat pembantu penyerang iaitu Khyril Muhymeen, Indra Putra Mahayuddin, Hardi Jaafar dan Amirulhadi Zainal.

Turut disenaraikan untuk mengisi posisi pembantu penyerang ialah Hairuddin Omar.

Ketua pasukan, Mohd. Shukor Adan akan bertindak bersendirian di posisi tengah.

Empat pertahanan yang mendapat kepercayaan Sathianathan untuk menyekat ketangkasan penyerang Chelsea ialah Shafizan Hashim, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Abd. Razak dan Fauzi Nan manakala posisi gawang diamanahkan di bahu Helmi Eliza Elias.

Menurut Sathianathan, percaturan tersebut diharap dapat menghasilkan keputusan yang baik untuk skuad kebangsaan.

‘‘Inilah format yang saya akan gunakan untuk perlawanan menentang Chelsea esok (hari ini) yang mana ia merupakan satu kelainan.

‘‘Format ini diharap akan dapat mengekang kemaraan pemain penyerang Chelsea yang kita sedia maklum kesemua bertaraf dunia.

‘‘Untuk kita menang ia memang satu keputusan yang sukar untuk kita capai tetapi saya berharap kita dapat mengelak daripada kekalahan besar seperti yang dialami oleh dua kelab di China, baru-baru ini,” katanya selepas latihan skuad Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Tambah Sathianathan, selepas melihat latihan skuad Chelsea semalam, dia menjangkakan jurulatih skuad ‘The Blues’, Felipe Scolari akan menggunakan taktik percubaan dari jauh untuk menghasilkan gol.

Katanya, penyerang handalan Chelsea seperti Nicolas Anelka, Andriy Shevchenko, Frank Lampar dan Saloman Kalou akan menjalankan tugas rembatan jauh untuk mencipta jaringan.

‘‘Untuk itu saya memberi perhatian kepada pemain pertahanan supaya jangan hilang fokus dan lebih berhati-hati.

‘‘Begitu juga Helmi Eliza di posisi gawang akan dikerah supaya lebih tangkas untuk menangkis percubaan dari jauh oleh para penyerang Chelsea.

‘‘Jika semua arahan dan taktik yang saya gunakan ini dijelmakan oleh para pemain, saya yakin kita akan mencatat satu keputusan yang membanggakan,” katanya.

Menurut Sathianathan, para pemain juga telah diingatkan supaya tidak berasa rendah diri apabila berdepan pemain lawan yang berkelas dunia.

Beliau berkata, para pemain cuma diminta beraksi seperti biasa dan melupakan perbezaan status dengan para pemain Chelsea.

Malaysia akan beraksi menentang Chelsea yang berada di sini sempena Siri Jelajah Asia 2008 dan perlawanan akan bermula pada pukul 8.45 malam ini di Stadium Shah Alam
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zodJzYym

© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia dianggap medan latihan

ARKIB : 28/07/2008
KUALA LUMPUR – Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari menganggap pertemuan dengan Malaysia malam esok hanyalah perlawanan berbentuk latihan untuk pemain-pemainnya.

Sebaliknya perlawanan pada Piala Keretapi di Rusia selepas ini sebagai penentu dalam memilih kesebelasan utama pasukannya untuk memulakan musim baru Liga Perdana England bulan depan.

“Tiga perlawanan pertama di Asia termasuk menentang Malaysia lebih kepada perlawanan untuk latihan sahaja.

“Tumpuan saya ialah lebih kepada perlawanan di Rusia kerana ia ujian terbaik untuk mengenalpasti pemain menentang Portsmouth pada 17 Ogos nanti.

“Setakat ini saya sudah 75 peratus mendapat bayangan barisan terbaik yang akan dibentuk untuk sepanjang musim baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik tiba di Kuala Lumpur dari Macau, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan tuah datang ke Malaysia buat kali kedua mampu memberinya kejuaraan Liga Perdana England pada musim baru ini.

“Pada 2002, saya datang buat kali pertama ke Malaysia bersama pasukan Brazil sebelum ke Piala Dunia di Korea Selatan. Kami muncul juara ketika itu.

“Jadi kedatangan kali kedua ini saya harap dapat menghadiahkan saya kejuaraan Liga Perdana England untuk Chelsea pula,” jelasnya.

Pada sidang akhbar itu, Scolari turut menunjukkan kebolehannya memberi dan menjawab salam (assalamualaikum/waalaikumsalam) yang dipelajarinya ketika datang ke Malaysia pada 2002 lalu.

Telatahnya itu mendapat tepukan gemuruh pihak media dan hadirin yang datang pada sidang akhbar tersebut
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zo82fnTK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

Malaysia seri dengan India

ARKIB : 23/07/2008
KUALA LUMPUR - Skuad negara sekadar mencatat seri yang kedua dalam tempoh sebulan pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa dengan mengikat India 1-1 di Hyderabad, semalam.

Indra Putra Mahayuddin menyelamatkan skuad negara bimbingan B. Sathianathan itu menerusi gol pada minit ke-75 selepas ketinggalan 10 minit sebelumnya dengan jaringan Baichung Bhutia, bekas pemain import Perak.

Malaysia menjadikan perlawanan ini sebagai persediaan menghadapi Pestabola Merdeka, Oktober ini dan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Indonesia dan Thailand, Disember depan.

Pada 6 Jun lalu, Malaysia turut mengikat Indonesia 1-1 di Surabaya dengan jaringan penyamaan ketua pasukan, Shukor Adan selepas tuan rumah mendahului menerusi Bambang Pamungkas.

Malaysia juga akan menentang kelab naib juara Liga Perdana England dan Liga Juara-juara Eropah, Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Selasa depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zmNUnWj1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad remaja ketiga di AFF

 ARKIB : 21/07/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia hanya berpuas hati dengan menduduki tempat ketiga Kejohanan Remaja Bawah 16 Tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) setelah menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Lebak Bulus, Jakarta, Indonesia, kelmarin.

Kejayaan pada perlawanan penentuan tempat ketiga itu menjadi penawar buat anak didik Lim Kim Chon yang kecewa untuk ke perlawanan akhir kerana dipintas Bahrain yang mengikat mereka 1-1 dengan jaringan minit terakhir oleh Salman Ahmed Aldakheel, Khamis lalu.

Kelmarin, skuad remaja negara yang bakal ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 17 Tahun Asia di Uzbekistan, Oktober ini secara automatik atas kesalahan Korea Utara, beroleh gol menerusi D. Saarvindran (minit ke-29), Sabri Sahar (64) dan Iffi Afinaz Ismail (80).

Umpanan terus Iffi disudahi tepat oleh Saarvindran dari jarak dekat manakala Sabri merembat voli masuk selepas mendada lintangan Muhammad Aminuddin Samki untuk gol kedua dan Iffi menyudahkan rembatan jauh bagi melengkapkan kemenangan Malaysia.

Bagaimanapun kata Kim Chon yang membuat perubahan pada jentera serangan khususnya tanpa Gary Robert Robbat dalam kesebelasan utama: "Gol ini tidak begitu penting sebaliknya persembahan pasukan yang baik dan kerja keras mereka yang membanggakan saya.

"Selepas ini, saya mungkin membuat perubahan pasukan iaitu kira-kira 40 peratus," katanya sebagai persediaan berikutnya ke pusingan akhir Kejohanan Asia yang meletakkan Malaysia ke Kumpulan D dengan Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.

Australia menjuarai Kejohanan AFF ini dengan menewaskan Bahrain menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 termasuk dalam masa tambahan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zmIg89mN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad kebangsaan sedia layan India

ARKIB : 17/07/2008
PETALING JAYA - Gandingan pemain muda dan senior dalam skuad bola sepak kebangsaan kendalian jurulatih, B. Sathianathan bakal membentuk skuad mantap dan serba lengkap.

Kembalinya pemain berpengalaman seperti Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin dilihat mampu menambah sengatan di jentera serangan.

Kehadiran pemain tersebut memberi keyakinan kepada penyerang muda seperti Khyril Muhymeen Zambri dan Zaquan Adha Abdul Radzak untuk melakukan penyudah tajam.

Bagi memperkuatkan jentera serangan, skuad kebangsaan yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan India, Selasa ini dan disusuli pertembungan dengan skuad Chelsea hujung bulan ini turut diperkuatkan dengan khidmat Safee Sali.

Bagi Nizaruddin Yusof, pemilihan pemain senior sepertinya dan Hairuddin dapat membantu penyerang muda mendapat lebih sokongan di bahagian depan.

''Saya berpendapat jurulatih keputusan Sathianathan membentuk gandingan pemain baru dan senior bertujuan menambah sengat di jentera serangan.

''Dengan kehadiran pemain senior seperti saya dan Hairuddin, pemain muda yang mempunyai pergerakan laju akan mendapat lebih bantuan di bahagian depan,'' katanya ketika di temui selepas melapor diri untuk latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Nizaruddin merupakan antara 18 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat sebelum dijangka berlepas ke Hyderabad, Ahad ini untuk perlawanan persahabatan itu.

Sathianathan turut menyelitkan pemain muda termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Daudsu Jamaluddin (pertahanan), Azi Shahril Azmi, Amirulhadi Zainal.

Mereka merupakan antara pemain dari skuad junior yang kalah kepada skuad Olimpik China 0-4 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Bagi Hairuddin pula, kembali berganding dengan rakan lama dalam skuad kebangsaan seperti Nizaruddin satu peluang yang sememangnya dinanti-nantikan.

''Saya berpendapat gandingan saya dan Nizaruddin mudah serasi kerana kami pernah digandingan sebelum ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zlnN7r00

© Utusan Melayu (M) Bhd