Jumaat, 4 Ogos 2017

Tidak perlu lepas jawatan

ARKIB : 29/08/2006
Oleh JOHARI SHAWAL

Pemain Malaysia, Ahmad Fadzli Saari (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak pertahanan Myanmar, Khin Maung Tun dalam perlawanan kumpulan terakhir Pestabola Merdeka edisi ke-38 yang menyaksikan Malaysia kecundang kepada Mynmar dengan jaringan 1-2.


KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah diminta supaya memikirkan semula hasrat beliau untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang diumumkan kelmarin.

Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, walaupun Sultan Ahmad sudah 22 tahun menerajui badan induk bola sepak negara tetapi khidmat beliau masih diperlukan kerana mengambil kira pelbagai faktor.

“Saya bagi pihak FAM menganggap tindakan dan hasrat beliau untuk berundur daripada menerajui badan bola sepak ini sebagai tidak wajar.

“Secara peribadi pula saya menganggap ini bukan masanya untuk beliau berundur. Kami rasakan biarlah beliau berundur pada ketika kita (FAM) sudah berjaya mencapai matlamat sebenar kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Raja Ahmad berkata, pandangan beliau dan FAM itu mengambil kira peranan besar Sultan Ahmad dalam FAM selain peranan utama beliau di peringkat global terutama Asia.

“Sejak beliau menerajui FAM terutama ketika bola sepak negara memasuki era semi-profesional pada 1989, banyak perkara yang dapat dibangunkan terutama liga itu sendiri.

“Kalau kita tengok, liga kita adalah yang terbaik di ASEAN dan antara yang terbaik di Asia. Memang betul prestasi bola sepak kita (pasukan kebangsaan) sekarang merosot tetapi kita harus mengambil kira faktor keseluruhan.

“Kalau dulu di zaman Allahyarham Mokhtar Dahari, (Datuk) Soh Chin Aun dan Santokh Singh, bola sepak kita cemerlang tetapi secara peribadi saya menganggap ketika itu kita kurang saingan berbanding sekarang.

“Jadi saya kira itu bukan penyebabnya. Sultan Ahmad juga bukan penyebabnya. Kita kena tengok secara keseluruhan apakah faktor yang menyumbang kepada kemerosotan itu,” katanya.

Raja Ahmad juga berkata, beliau tidak nampak ada orang yang lebih berwibawa daripada Sultan Ahmad untuk menerajui FAM ketika ini.

“Sehubungan itu, kami mintalah supaya beliau memikirkan semula hasratnya itu,” tambahnya.

Raja Ahmad juga mahu pihak-pihak di luar FAM supaya mengambil kira tanggungjawab bersama yang dipikul oleh FAM dan Sultan Ahmad sendiri dalam membangunkan bola sepak negara.

“Kalau dulu, kita tidak ada apa-apa, kita tidak ada pengurusan yang baik tetapi sejak di bawah kepimpinan beliau, banyak perkara kita dapat buat.

“Mereka juga mesti sedar bahawa FAM bukan melahirkan pemain tetapi sebagai penganjur. Jika kita tengok Liga Malaysia misalnya, menerusi liga inilah kita dapat lahirkan pemain kita.

“Soal beliau (Sultan Ahmad) atau pengurusan FAM mesti letak jawatan seperti yang diminta itu bukan satu penyelesaian yang baik,” tambahnya.

Raja Ahmad berkata, FAM menerima teguran dan kritikan tentang mutu bola sepak negara tetapi biarlah teguran itu yang membina.

“Kalau boleh, teguran disertakan dengan cadangan. Janganlah ikut emosi sahaja,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4om69WPnm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan