Isnin, 28 Ogos 2017

KL2017: Kami akan sentap ego Thailand - Safawi



Isnin, 28 Ogos 2017 | 5:30pm
KL2017: Kami akan sentap ego Thailand - Safawi
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

AH ALAM: "Thailand berlagak sangat, final ini saya mahu buat mereka kecewa," kata penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Safawi Rasid menjelang perlawanan akhir dengan pasukan juara bertahan Thailand di Stadium Shah Alam, jam 8.45 malam esok.

Safawi berkata, dia dan rakan sepasukan begitu bersemangat untuk menyekat dominasi Thailand yang kini memburu kejuaraan hatrik.

"Kita berjaya menundukkan Indonesia (1-0) di separuh akhir dan ia bukan perlawanan mudah. Kejayaan itu memberikan kita keyakinan dan kita akan bermain di tempat sendiri bersama sokongan padu penyokong. Saya fikir kita boleh beri persembahan lebih baik di final.

"Ini kali pertama saya bermain di Sukan SEA dan kali pertama ke final. Kita akan bermain untuk merebut ibu segala pingat dan sudah pasti kita ingin menewaskan Thailand untuk leburkan ego mereka di mana sebelum ini mereka memperlekehkan kemampuan kita," katanya.

Semangat pemain negara kian membara apabila mereka kini hanya selangkah untuk melakar sejarah merangkul kejuaraan sejak Sukan SEA Jakarta 2011.

Pada mulanya ramai yang beranggapan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sukar untuk ke final termasuk penyerang Thailand, Sittichok Kannoo yang memilih untuk bertemu Indonesia kerana menganggap pasukan tuan rumah tidak kuat.

Malah keyakinan pemain lawan itu disuntik dengan kejayaan mereka mengalahkan Malaysia 3-0 pada pertemuan terakhir di Bangkok dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 bulan lalu.

Safawi, 20, yang sudah meledak dua gol setakat ini menganggap pertemuan itu tidak boleh diambil kira kerana beberapa perubahan sudah dilakukan Kim Swee.

"Saya fikir kita berada di tahap terbaik. Di sebalik semangat ini, kita tak boleh terlampau yakin dan tertekan. Sebelum ini ada enam pemain tak pergi ke Bangkok, termasuk saya dan diharap enam pemain ini dapat bantu kejayaan pasukan," katanya.

Selain Safawi, lima lagi pemain yang tidak bersama pasukan menentang Thailand di Bangkok adalah Matthew Davies, Nor Azam Azih, S Kumaahran, Syamer Kutty Abba dan Haziq Nadzli kerana tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 28 Ogos 2017 | 5:30pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan