Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
Melaka: Jurulatih Harimau
Malaya, Nelo Vingada mengaku 11 pemain baru yang dipanggil menjalani sesi
latihan pusat skuad kebangsaan sudah menunjukkan persefahaman baik sekali gus
membolehkan pihaknya untuk merencana pelbagai taktik.
Justeru, perlawanan persahabatan
menentang Syria di Stadium Hang Jebat malam ini bakal menjadi medan untuk
menguji sejauh mana pemainnya mampu melaksanakan taktikal dan pergerakan yang
sudah diatur.
“Perlawanan menentang Syria
boleh dijadikan persiapan dalam usaha kami untuk mencapai keputusan lebih baik
dan saya juga mahu melihat sejauh mana pemain mampu melaksanakan apa yang cuba
saya terapkan,” katanya pada sidang media praperlawanan yang diadakan di sini,
semalam.
Hakikat itu diakui kapten,
Safiq Rahim yang berkata pengendali itu sudah mula menerapkan pelbagai taktik
dan ia dilihat sebagai antara perubahan besar yang dibawa Vingada dalam usaha
untuk mempersiapkan Harimau Malaya sebelum saingan Piala Asia menentang Lebanon
nanti.
“Sebagai pemain, kami perlu
memberikan yang terbaik sebelum perlawanan menentang Hong Kong, 5 September
nanti. Walaupun aksi dengan Syria adalah sekadar perlawanan persahabatan, namun
kami tidak akan mengambil mudah.
“Malah, kami juga mahukan
keputusan terbaik untuk memenuhi objektif pasukan dan pada masa sama kami tidak
mahu memikirkan soal lain. Apa yang pasti, banyak perubahan positif terhadap
pasukan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Syria,
Ayman Al Hakeem memilih untuk merendah diri dan berkata, beliau tetap
menghormati Malaysia yang dianggap sebagai pasukan agresif dan mampu memberi
saingan kepada pasukannya.
“Kami perlu sedar bahawa
perlawanan ini akan berlangsung di Malaysia dan anda ada kelebihan,” katanya.
Beliau menganggap perlawanan
persahabatan itu penting untuk persediaan pasukan sebelum menentang Qatar pada
kempen kelayakan Piala Dunia 2018.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 9:31 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan