Selasa, 22 Ogos 2017

Malaysia pamer rentak sang juara



 
PARA pemain muda negara meraikan kemenangan setelah menewaskan Myanmar 3-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Shah Alam malam tadi.

TIGA mata, tiga gol. Tiada pencapaian lebih membanggakan buat skuad Projek Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila melangkah ke separuh akhir dengan bergaya apabila menundukkan pendahulu Kumpulan A, pasukan bawah 23 tahun (B-23) Myanmar 3-1 dalam aksi ketiga di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu sekali gus mencerahkan peluang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merampas status pendahulu Kumpulan A milik Myanmar apabila masih memiliki baki satu perlawanan bertemu Laos esok.

Pasukan remaja negara hanya perlu mengutip satu mata bertemu Laos, manakala Myanmar yang meraih sembilan mata sepanjang empat perlawanan perlu mengharapkan simpati pasukan bimbingan Mike Wong melakarkan kejutan ke atas Harimau Muda.

Dalam aksi separuh masa pertama, skuad negara turun mempamerkan persembahan lebih tersusun sambil mengatur gerak menyerang kubu benteng pertahanan Myanmar.

Peluang terbaik negara mendahului perlawanan menerusi Syazwan Andik tetapi sepakan percuma pemain muda Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu berjaya ditepis penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing pada minit ke-23.

Saat yang dinanti-nantikan puluhan ribu penyokong Harimau Muda akhirnya tiba apabila peledak sensasi negara, N. Thanabalan membuka tirai jaringan pada minit ke-33.

Berselang seminit kemudian, skuad Projek KL2017 terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan pasukan bimbingan Gerd Zeise apabila giliran Safawi Rasid melakar nama selaku penjaring kedua apabila bijak memanfaatkan hantaran S. Kumaahran.

Bersambung di babak kedua Thanabalan menambah derita pasukan lawan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-82.

Myanmar yang enggan berputus asa untuk memburu gol akhirnya menemui jaringan pertama perlawanan menerusi pemain gantian, Than Paing pada minit ke-86.

Namun, kebangkitan lewat Myanmar gagal mengubah kedudukan apabila keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4qU25H4BG
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan