Ahad, 27 Ogos 2017 | 3:46pm
BEKAS penyerang bola sepak
kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengharapkan skuad B-22 dapat menebus
kekecewaan final Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 ketika aksi final bertemu
Thailand, Selasa ini. - Foto Hamzah Osman
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang
bola sepak kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap skuad bawah 22 tahun
(B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dapat menebus kekecewaan final Sukan
SEA Kuala Lumpur 2001.
Beliau berkata, kekalahan 0-1
kepada Thailand 16 tahun lalu itu adalah antara yang perit dalam kariernya tapi
dia percaya pemain muda negara boleh melakukan lebih baik apabila bertemu juara
bertahan itu sekali lagi di pentas akhir di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
"Aksi final ini kalau
diikutkan, kekuatan pemain kedua-dua pasukan sama. Pada aksi separuh akhir
bertemu Myanmar, Thailand tidak terlalu kuat tapi Malaysia juga ada beberapa
kelemahan yang perlu diatasi terutama di bahagian tengah agak longgar.
"Saya ingatkan kepada
pemain supaya bersabar, jangan terlalu memikirkan untuk jaringkan gol dan cepat
hilang bola.
"Kita boleh berasa yakin
tapi bukan terlampau yakin dan jika pemain boleh berikan aksi terbaik,
Insya-Allah kita boleh menang emas kali ini," katanya ketika dihubungi
Arena Metro.
Malaysia layak ke final Sukan
SEA buat kali ke-12 sejak 1959 selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi
separuh akhir di Stadium Shah Alam semalam.
Ini kali keempat skuad negara
membuat perhitungan bagi pingat emas dengan Thailand selepas 1975, 1977, 1981
dan 2001 dengan rekod satu kemenangan dan tiga kalah.
Akmal yang menjaringkan satu
gol ketika menewaskan Indonesia 2-1 untuk mengesahkan tempat ke final 2001
mengingatkan pemain supaya mengelak daripada melakukan kesilapan.
"Pada aksi final dengan
Thailand, kami diberi harapan tinggi sebab kami tak pernah kalah dari pusingan
awal. Tapi pada final, kami bermain dengan baik cuma kesilapan minit akhir
menghukum kami," katanya yang pernah beraksi dengan kelab Perancis RC
Strasbourg pada 1999-2001.
Pada final 2001, Malaysia
dikecewakan oleh jaringan Sarawut Treephan tiga minit sebelum perlawanan tamat
di Stadium Shah Alam.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
27 Ogos 2017 | 3:46pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan