Isnin, 28 Ogos 2017

Hapus dominasi Gajah Perang!

HM Digital
 
Kuala Lumpur: N Thanabalan dan rakan sepasukan sedia untuk mengakhiri dominasi Thailand dalam kancah Sukan SEA.

“Saya fikir mereka tidak serius dalam menganggap kami sebagai pencabar. Penyerang Thailand Sittichok Kannoo memberitahu media yang Indonesia lebih baik daripada Malaysia.

“Kenyataan itu membuatkan kami marah. Kami mahu membuktikan sesuatu dengan menewaskan mereka.

“Mungkin Thailand anggap yang Malaysia bukan lawan sebenar selepas mereka menang 3-0 di Bangkok bulan lalu (pusingan kelayakan bawah 23 tahun AFC). Pemain Thailand memang cergas dan laju, tapi saya percaya kami boleh menyaingi mereka.

“Semua pemain fokus terhadap kempen ini. Kemenangan ke atas Indonesia sudah menjadi sejarah. Sekarang kami perlu menyediakan diri untuk final dan menang emas. Perkara paling penting, kami mesti memanfaatkan setiap peluang,” katanya.

Thanabalan akan mempunyai penyuntik semangat apabila beraksi di final esok apabila ayahnya, S Nadarajah yang lumpuh berikutan nahas jalan raya pada 2013, akan turut berada di Stadium Shah Alam untuk memberikan sokongan.

“Bapa saya memberitahu hanya akan datang melihat saya bermain jika Malaysia masuk final. Ayah akan menggunakan kerusi roda nanti untuk berada di stadium,” kata Thanabalan.

SUMBER=Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 1:05 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan