Isnin, 28 Ogos 2017

KL2017: Berjuanglah habis-habisan!



Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:47pm
 
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) mahu skuad bola sepak negara, berjuang habis-habisan pada aksi final menentang Thailand Selasa ini.- Foto BERNAMA
KL2017: Berjuanglah habis-habisan!
           
KUALA LUMPUR: Berjuanglah habis-habisan, pastikan ibu segala pingat milik Malaysia!... itulah kata-kata semangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada skuad bola sepak negara yang bakal berdepan dengan Thailand, esok.

Bagi Khairy, harapan itu bukan satu bentuk tekanan kepada skuad Datuk Ong Kim Swee, sebaliknya kata semangat untuk membawa pulang hadiah istimewa menjelang Hari Kebangsaan 2017.

Perlawanan final antara Malaysia dan juara bertahan, Thailand akan berlangsung jam 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

"Saya tidak mahu pemain kita rasa tekanan yang terlalu besar, saya mahu mereka main perlawanan mereka... berjuang habis-habisan, tetapi 'enjoy the game'," katanya kepada pemberita selepas melancarkan edisi khas Tin Emas 'Kita Juara' 100Plus di Rumah Malaysia yang terletak di pekarangan Stadium Nasional di sini, hari ini.

Selain menyuntik semangat kepada skuad negara, beliau turut meminta penyokong yang bakal membanjiri stadium supaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan mengelak daripada mencetuskan sebarang masalah.

Sementara itu, di Shah Alam, penyokong Malaysia telah mula berkampung di Stadium Shah Alam sejak 9 malam tadi, malah sanggup beratur lebih dua kilometer bagi membeli tiket perlawanan akhir itu.

Tinjauan mendapati 10 daripada 20 kaunter yang dibuka seawal 10.40 pagi tadi terpaksa ditutup berikutan terdapat kumpulan peminat sukan itu yang enggan mematuhi arahan supaya beratur dan bertindak merosakkan penghadang yang diletakkan di sekitar kaunter tiket.

Bagaimanapun, pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan sebelum penjualan tiket kembali disambung pada jam 3.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, ketika ditemui di lokasi, berkata polis turut mengawal keadaan bagi memastikan proses penjualan tiket berjalan lancar. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONINE Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:47pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan