Isnin, 21 Ogos 2017

Jangan terlalu hormat Myanmar



Ahad, 20 Ogos 2017 | 3:58pm
 
PENJAGA gol skuad bola sepak negara, Ifwat Akmal Che Kassim menepis sepakan pemain Brunei pada perlawanan Kumpulan A Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir
Jangan terlalu hormat Myanmar
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Aziman Rosdi
bhsukan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad bola sepak negara, Ifwat Akmal Che Kassim menegaskan mereka tidak boleh terlalu menghormati Myanmar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, malam esok.

Sambil mengakui tidak berkecil hati dengan keputusan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang tidak menurunkannya ketika berdepan Singapura, Rabu lalu, Ifwat menjelaskan Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dan hanya perlu fokus sepenuhnya untuk perlawanan itu.

"Saya tidak kisah siapa pun yang diturunkan kerana apa yang penting adalah pasukan meraih kemenangan.

"Saya perlu bekerja lebih keras untuk bersaing merebut tempat dan cuba melakukan yang terbaik jika diberi peluang beraksi.

"Myanmar pasukan yang bagus, jadi kami perlu berhati-hati namun tidak boleh terlalu menghormati mereka. Sasaran utama kami sudah pasti mahu meneruskan momentum kemenangan," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Myanmar kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata selepas menang semua tiga aksi sebelum ini.

Sementara itu, Malaysia yang juga masih mengekalkan rekod bersih selepas menang 2-1 ke atas Brunei dan Singapura berada di tangga kedua, selepas mengumpul enam mata.

Selain itu, Ifwat turut berharap Malaysia dapat meraih semua kemenangan untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara.

"Kami perlu menang semua perlawanan untuk mengelak laluan sukar di separuh akhir nanti.

"Saya fikir ia tidak mustahil jika kami mampu menewaskan Myanmar, kerana selepas ini kami akan berdepan Laos pada aksi terakhir kumpulan," katanya.
Sumber-Berita Harian online Sabtu, 20 Ogos 2017 | 8:41pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan