Selasa, 15 Ogos 2017

Skuad Kim Swee lulus ujian pertama



 PEMAIN Malaysia, Adam Nor Azlin (kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan dalam sainga
PEMAIN Malaysia, Adam Nor Azlin (kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan dalam sainga    2
PEMAIN Malaysia, Adam Nor Azlin (kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan dalam saingan bola sepak Kumpulan A, Sukan SEA di Stadium Shah Alam, Selangor, semalam. Malaysia menang 2-1 ke atas Brunei.– UTUSAN /Abdul Razak Latif

Fadhilul Izmel Ishak

15 Ogos 2017 3:00 AM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

SHAH ALAM 14 Ogos - Malaysia menempuh cabaran getir tetapi fokus dan kesungguhan sepanjang perlawanan akhirnya menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee melakar kemenangan 2-1 ke atas Brunei dalam perlawanan pembukaan bola sepak lelaki Sukan SEA di Stadium Shah Alam malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Kim Swee menduduki anak tangga kedua Kumpulan A di belakang Myanmar yang turut mengutip tiga mata selepas menumpaskan Singapura 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada sebelah petang.

Skuad Kim Swee memberi gambaran awal bahawa tiga mata pertama mereka bakal diraih dengan mudah apabila berjaya berada di depan seawal minit keempat menerusi sepakan voli Safawi Rasid selepas menerima hantaran daripada kapten Pahang, Matthew Davies namun Brunei memiliki perancangan sebaliknya.

Kedudukan 1-0 tersebut tidak bertahan lama apabila lapan minit kemudian giliran skuad Kwon Oh-son dari Korea Selatan menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohamed Zulkhairy Hady Razali yang melepasi perangkap ofsaid.

Skuad bawah 22 negara kembali mengatur serangan dan hampir berada di depan semula tetapi rembatan penyerang Selangor, Adam Nor Azlin tersasar selepas menyambar peluang yang berpunca daripada sepakan bebas Muhammad Danial Amier Norhisham pada minit ke-14.

Anak-anak buah Kim Swee kemudian menguasai permainan tetapi gagal menembusi gawang lawan akibat tiada penyudah yang baik serta dihalang oleh pertahanan Brunei.

Malaysia memiliki peluang terbaik untuk kembali di depan pada minit ke-42 tetapi tendangan Syazwan Andik melepasi palang walaupun sekadar berdepan penjaga gol Brunei, Hainie Anak Nyaring.

Selang dua minit kemudian Malaysia sekali lagi memiliki peluang terbaik untuk mengatasi lawan mereka bagaimanapun sepakan bebas yang diambil oleh Safawi sekadar menggegarkan palang.

Malaysia memulakan babak kedua dengan semangat ghairah untuk memburu jaringan kedua namun rembatan padu penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi berjaya dinafikan oleh Haimie dua minit selepas rehat.

Usaha anak-anak buah Kim Swee memburu gol membuahkan hasil apabila mereka berjaya menggandakan jaringan menerusi tandukan Adam pada minit ke-60 selepas pantas menyambar bola daripada sepakan sudut yang dilakukan oleh Safawi.

Skuad bawah 22 negara terus mengatur serangan terhadap kubu lawan dan mereka mempunyai peluang terbaik untuk menggandakan jaringan bagaiamanapun setiap percubaan yang dilakukan mudah dipatahkan oleh pertahanan Brunei.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-kim-swee-lulus-ujian-pertama-1.515097#ixzz4pozTfdUk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan