Sabtu, 5 Ogos 2017

Barisan terbaik Kim Swee

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee percaya sudah memiliki barisan pemain terbaik untuk memburu emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur 2017 dengan menyenaraikan 27 pemain bagi kem latihan pusat fasa akhir termasuk memanggil semula enam pemain yang gagal mendapat pelepasan sebelum ini.

Justeru bukan satu kejutan untuk menyaksikan Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) yang tidak bersama pada Kejohanan Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu diberi peluang kali ini kerana Kim Swee sebelum ini sudah menyuarakan pintu masih terbuka buat mereka.

Sehubungan itu, empat pemain digugurkan membabitkan penjaga gol Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), L Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi (Negeri Sembilan) serta Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) untuk memberi laluan kepada Dominic Tan (Johor DT) dan Tommy Mawat Bada (Sarawak) dan Ahmad Azriddin Rosli berada dalam pasukan.

Kim Swee yang akan mengumpul semua pemain bermula Ahad ini dijangka mengumumkan senarai akhir 20 pemain pada 12 Ogos ini.

“Ini barisan terbaik yang dapat saya kumpulkan kecuali terpaksa menggugurkan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak) yang didapati tidak sempat cergas sepenuhnya menjelang Sukan SEA.

“Bagi saya, senarai 27 pemain ini barisan pemain yang lebih baik berbanding skuad 22 pemain ketika kita ke Bangkok tempoh hari.

“Saya akan menggunakan tempoh seminggu ini untuk menilai 27 pemain ini bagi memastikan setiap posisi itu harus mempunyai pemain utama dan pengganti kerana kita tahu jadual Sukan SEA begitu padat,” katanya.

Kim Swee yang berjaya membawa pasukan muda negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan mengakui bukan masalah untuk beliau memanggil pemain baru yang tidak bersama pasukan di Bangkok sebelum ini.

“Matthew dan Nor Azam pernah bersama ketika saya mengendalikan skuad Sukan SEA 2015 di Singapura, cuma Nor Azam digugurkan pada saat akhir.

“Yang penting, pemain baru ini perlu berusaha merebut tempat dan pada masa sama sedia bekerjasama dengan pemain lain,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 11:26 A

Tiada ulasan:

Catat Ulasan