Ahad, 27 Ogos 2017

Jaga-jaga tandukan Thanabalan



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
NALURI pemusnah dimiliki penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara N Thanabalan bakal menjadi senjata utama untuk merobek gawang Thailand pada pertembungan final di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Dia sentiasa berada tepat pada masanya di dalam kotak penalti untuk meledak gol.

Namun bisa sebenar dimiliki Thanabalan adalah tandukannya seperti dilakukan ketika menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Indonesia pada aksi separuh akhir semalam.

Malah ia adalah gol ketiga menerusi tandukan daripada empat gol keseluruhan dalam kempen kali ini.

Pemain berusia 22 tahun dari Seremban itu mengakui kemahiran tandukannya lebih baik berbanding jaringan menerusi sepakan hasil latihan menanduk bola ke dinding ketika di rumah.

“Saya memang suka menjaringkan gol dengan tandukan sejak bermain bola sepak sesama kecil lagi.

“Memang jaringan tandukan saya lebih baik daripada sepakan.

Saya belajar menanduk bola daripada bapa (S Nadarajah) dan jurulatih Khalid Shahdan serta beberapa jurulatih lain.

“Bila di rumah, saya suka-suka berlatih menanduk bola ke dinding,” katanya.

Bagaimanapun, Thanabalan mengakui tanpa bantuan rakan sepasukan, dia tidak akan berpeluang menjaringkan gol.

“Saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan, kalau mereka tidak melakukan hantaran yang baik, menyukarkan saya menjaringkan gol,” jelasnya.

Mengulas pertemuan dengan Thailand, pemain FELCRA FC itu sedar mereka perlu lebih berhati-hati.

“Kita kena fokus bertemu Thailand, tak boleh leka, kena berjuang habis-habisan. Kita sudah layak ke final jadi jangan sia-siakan peluang ini.

“Kita kalah kepada Thailand 3-0 pada kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu, jadi ini peluang untuk menebus kekecewaan itu,” kata Thanabalan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:41 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan