Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:10pm
IBU kepada penyerang skuad bola
sepak negara, N.Thanabalan,V. Thirusundari berharap anaknya boleh bermain lebih
baik pada final nanti. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KL2017: Ibu Thana harap
penyerang penuhi impian
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: "Saya
berharap dia boleh bermain lebih baik pada final nanti."
Itu harapan yang disuarakan V
Thirusundari, ibu kepada penyerang muda negara N Thanabalan menjelang
perlawanan akhir menentang Thailand di Stadium Shah Alam, malam esok.
Katanya, sebagai ibu beliau
sentiasa memberi sokongan kepada anaknya itu supaya tidak tertekan dengan
harapan tinggi rakyat Malaysia terhadap skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara
untuk meraih emas di laman sendiri.
"Saya tidak tahu sangat
pasal bola sepak, selalu suami saya (S Nadarajah) yang selalu bercerita tentang
bola sepak kepada saya. Saya tahu Thana (Thanabalan) suka bermain bola sepak
dan kami sekeluarga tidak ada halangan.
"Bila pasukan Malaysia
layak ke final, kami semua gembira, tak kisah siapa yang jaringkan gol, janji
Malaysia menang," katanya.
Thirusundari, 52, buat pertama
kali hadir menyaksikan Thanabalan beraksi di Stadium Shah Alam ketika
perlawanan separuh akhir dengan Indonesia, kelmarin.
Ternyata kehadirannya ditemani
ahli keluarga dari Seremban itu berbaloi apabila anaknya berjaya menjaringkan
gol tunggal kemenangan ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke pentas
akhir, selepas kali terakhir melakukannya ketika muncul juara di Jakarta 2011.
"Saya tak biasa ke
stadium, tapi kali ini saya mahu beri semangat kepada Thana. Saya gembira dia
jaringkan gol tapi paling gembira sudah pasti ayah Thana," katanya yang
merancang untuk datang ke stadium untuk menyaksikan final itu.
Thirusundari sudah tidak
bekerja kerana menguruskan suaminya yang terbabit dalam satu kemalangan pada
2013 sehingga mengakibatkannya lumpuh separuh badan.
Katanya, dia percaya Thanabalan
yang kini bertanggung jawab menyara keluarga tidak akan lupa diri biarpun kini
menjadi perhatian ramai.
"Saya tahu dia tak
'action' (berlagak), sebab kalau dia jaringkan gol pun dia tak akan beritahu
saya. Saya selalu nasihatkan dia supaya jangan leka, kerja kuat lagi. Dia anak
yang baik walaupun nakal sikit," katanya sambil tersenyum.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
28 Ogos 2017 | 6:10pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan