Sekental Tembok Besar China
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
“Kami tak mahu bolos!”.
Itu tekad kapten skuad bawah 22
tahun (B-22) negara Adib Zainudin yang mahu memastikan Indonesia tidak
sewenang-wenangnya menembusi pertahanan mereka dalam pertemuan separuh akhir di
Stadium Shah Alam, esok.
Malaysia mencatat rekod bersih
empat kemenangan berturut-turut untuk mara ke separuh akhir selaku juara
kumpulan A namun mereka gagal mempertahankan kubu daripada dibolosi dalam semua
perlawanan itu.
Malah gol yang dibolosi ketika
menang 2-1 dengan Brunei dan Singapura serta menang 3-1 ke atas Myanmar dan
Laos adalah kesilapan pemain sendiri.
Bagi Adib yang bakal bertindak
sebagai pemain pertahanan bersama Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin, dia mahu
semua rakan sepasukannya lebih fokus kali ini.
“Ini perlawanan lebih sukar,
saya dan rakan-rakan yang lain perlu elak daripada melakukan kesilapan mudah.
Kita kena bekerja keras untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi.
“Pemain sekarang berada di
tahap terbaik dan saya percaya siapa saja yang akan diturunkan sudah bersedia
untuk menggalas tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Adib, 22, yang kini mewakili
kelab FELCRA FC antara tonggak ketika menewaskan Indonesia 3-0 di kelayakan
Kejohanan AFB B-23 di Bangkok, bulan lalu, dan dia tahu ancaman yang boleh
diberikan oleh pasukan lawan itu.
“Mereka mempunyai penyerang
yang bagus daripada segi fizikal dan bahagian sayap kiri dan kanan juga perlu
diawasi. Kita hanya perlu mengikut taktikal yang diberikan oleh jurulatih
(Datuk Ong Kim Swee) dan saya percaya kita ada peluang untuk ke final,”
katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 5:27 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan