Sabtu, 19 Ogos 2017

Malaysia atasi Thailand 2-1



ARKIB : 16/09/2006

KUANTAN – Malaysia mencatat kemenangan ke atas Thailand 2-1 pada perlawanan kedua Kejohanan AFF Bawah 20 Tahun di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Skuad kebangsaan memperoleh peluang terbaik untuk mendahului Thailand menerusi pemain, Badrol Bakhtiar pada minit ke-29 yang merembat terus ke gawang pasukan lawan namun berjaya ditolak keluar oleh penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom.

Kesilapan barisan pertahanan Malaysia dihukum pemain Thailand, Panuwat Jinta yang menolak mudah bola ke pintu gol pasukan kebangsaan bagi membolehkan negara itu mendahului 1-0 pada minit ke-33.

Namun begitu, Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang, Abdul Manaf Mamat yang menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol Thailand, Bootprom pada minit ke-45 permainan.

Abdul Manaf sekali lagi menjadi wira skuad negara apabila dia yang melakukan larian secara solo merembat bola menerjah ke gawang lawan pada minit ke-55 untuk mendahului Thailand 2-1.

Gandingan barisan hadapan Malaysia hampir meletakkan tuan rumah mendahului 3-1 pada minit ke-72 apabila hantaran Abdul Shukor Jusoh kepada Abdul Manaf yang merembat bola ke arah pintu gol lawan berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Thailand.

Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu Australia membelasah Vietnam 4-0 di stadium yang sama.

Gol gol Australia dijaringkan oleh Evan James Berge pada minit ke-10, Nathan Joel Burns minit ke-47 serta 53 dan Tarek Elrich minit ke-75.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4qCnB9UXl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan