Jumaat, 11 Ogos 2017

Filipina pilih Malaysia jaguh bola sepak Sukan Sea

11 OGOS 2017
  
Ong Kim Swee
JURULATIH pasukan bola sepak Filipina bawah 23 (B-23) Marlon Maro percaya Malaysia mempunyai kelebihan untuk merangkul pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jurulatih berusia 52 tahun itu berkata biarpun Thailand menjadi pasukan pilihan untuk memburu gelaran hatrik pada edisi kali ini, namun beliau percaya skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee masih merupakan pasukan pilihan selepas menunjukkan perkembangan menakjubkan sejak kebelakangan ini.

“Thailand merupakan pasukan yang mantap tetapi saya memilih Malaysia. Berdasarkan sejarah Malaysia selaku tuan rumah mempunyai peluang yang cerah untuk ke final dan seterusnya merangkul ibu segala pingat temasya dwitahunan itu.

“Lagipun, Malaysia telah menampilkan persembahan yang baik sejak kebelakangan ini dan saya tidak ragu-ragu dengan kemampuan pasukan tuan rumah,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

Marlon berkata pasukan Filipina menyasarkan slot ke separuh akhir pada temasya sukan ini dengan negara itu disenaraikan dalam kumpulan B bersama-sama Vietnam, Laos, Myanmar, Brunei dan Timor Leste.

Malaysia dalam kumpulan A bersama-sama Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja.

Marlon berkata prestasi pemainnya kini dalam keadaan lebih baik berbanding edisi lepas di Singapura pada 2015 selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Jepun dan Kemboja sebelum bertandang ke sini.

“Kita semua tahu Filipina berada dalam kumpulan maut bersama dengan Vietnam dan Myanmar tetapi kita akan hadapi permainan demi permainan.

“Matlamat utama kami tahun ini layak ke separuh akhir, selepas gagal pada edisi lepas,” kata Marlon yang merupakan bekas pemain bola sepak skuad kebangsaan Filipina.

Filipina yang gagal melayakkan diri ke separuh akhir pada edisi 2015, berada dalam Kumpulan B bersama-sama Indonesia, Kemboja, Thailand, Vietnam dan Timor Leste.


Mereka akan memulakan kempen menentang Kemboja di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 15 Ogos. –Bernam
SUMBER_SUNAR HARIAN ONLINE 
11 OGOS 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan