Selasa, 29 Ogos 2017

KL2017: TPM ramal Malaysia menang 1-0



Selasa, 29 Ogos 2017 | 2:09pm
 
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyerahkan watikah lembu korban kepada wakil ahli jawatankuasa Masjid Al Fatah Sungai Nipah Darat Rungkup di Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Aidil Adha di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Parit 7, Sungai Sumun Bagan Datok. - Foto L.Manimaran
KL2017: TPM ramal Malaysia menang 1-0

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terkecuali menyertai majoriti rakyat Malaysia dalam membuat telahan peluang pasukan bola sepak negara merebut pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Di tengah-tengah kesibukannya berkunjung ke sini dan menyertai majlis, Timbalan Perdana Menteri meramalkan pasukan kebangsaan akan menang 1-0 menentang skuad Thailand pada perlawanan akhir malam ini.

Beliau berkata, walaupun pasukan negara kini kuat, namun kehebatan pasukan lawan selaku juara bertahan tidak boleh dipandang ringan.

"Mutu permainan mereka (Thailand) bagus dan mereka juga sama kuat.

"Saya doakan agar pasukan kita menang dan ramalan saya kita akan berjaya mengalahkan Thailand sekurang-kurangnya 1-0," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Lembu Korban Aidiladha 1438H kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini, hari ini.

Perebutan yang dianggap ibu segala pingat temasya KL2017 itu dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pukul 8.45 malam ini.

Ahmad Zahid menjangkakan perlawanan itu bakal berlangsung dalam keadaan sengit, namun kelebihan Malaysia adalah bermain di padang sendiri, maka beliau meminta semua rakyat Malaysia supaya memberi sokongan padu kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu. Bernama
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 29 Ogos 2017 | 2:09pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan