Sabtu, 19 Ogos 2017

Skuad negara perlu bangkit



ARKIB : 15/09/2006
Oleh AIZAWATI AHMAD

KUANTAN – Kepincangan barisan tengah skuad kebangsaan perlu diatasi segera jika Malaysia mahu memberikan tentangan sengit kepada Thailand pada perlawanan kedua Kejohanan Piala AFF Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, aksi lembab dan kurang agresif pada separuh masa pertama perlawanan pasukan negara menentang Vietnam, kelmarin sewajarnya dijadikan pengajaran kepada anak-anak buahnya.

‘‘Kita bermula dengan lembab dan tidak agresif malah barisan pemain tengah tidak berfungsi dan mereka juga gagal melakukan hantaran yang kemas,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Menurutnya, Thailand merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti.

Jelas beliau, berdasarkan pemerhatiannya pada perlawanan tersebut, walaupun kecundang kepada Australia 3-0 tetapi para pemain skuad negara Gajah Putih itu bermain dengan baik.

‘‘Pertemuan dengan Thailand merupakan satu perlawanan yang menarik dan saya berharap anak-anak buah saya dapat mempamerkan aksi yang mantap pada malam ini,” ujarnya.

Mengulas pertemuan antara Malaysia dan Vietnam, kelmarin yang berkesudahan seri 2-2, Rajagobal memberitahu, gol pertama yang diperoleh Vietnam merupakan satu jaringan mudah dan tidak sewajarnya dilepaskan begitu sahaja.

Katanya lagi, walaupun skuad kebangsaan dibarisi oleh enam muka baru tetapi itu bukan alasan untuk anak-anak buahnya beraksi hambar dan tidak agresif.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4qCiAOwFs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan