Ahad, 20 Ogos 2017

LAHIRKAN RAMAI MOKHTAR DAHARI



20 Ogos 2017 12:00 PM
 
MUKADIMAH: SEBAGAI bekas pengulas sukan terkenal di radio sejak 1959 dan televisyen 1965, beliau banyak melihat turun naiknya prestasi dan kemajuan bola sepak negara.

Pada usia 78 tahun, tokoh ini masih lagi mengikuti perkembangan terkini sukan bola sepak tanah air meski pun sudah bersara sebagai pengulas sukan sejak 2006. Ikutilah temu bual wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR dengan Datuk Rahim Razali yang berkongsi pengalaman pahit dan manis beliau sebagai pengulas sukan tersohor tanah air.
Rahim turut memberi pandangan tentang kedudukan serta masa depan sukan nombor satu negara itu berbanding ketika berada di puncak kegemilangan suatu ketika dulu.



MINGGUAN: Bagaimana karier sebagai pengulas sukan mula menjadi sebahagian kerjaya selain meneruskan minat sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip dan dramatis terkenal tanah air?

RAHIM: Sebenarnya, kerjaya sebagai pengulas sukan bermula sejak 1959 lagi selepas menamatkan pengajian saya dalam tingkatan enam di Anderson School di Ipoh Perak. Ketika itu saya tinggal dengan bapa saudara di Kuala Lumpur. Saya mencuba nasib memohon kerja di Radio Malaya ketika itu. Televisyen belum ada.

Nasib saya baik, apabila diberi tugas sebagai penolong penyiaran dan akhirnya diberi peluang sebagai penolong pengulas sukan sementara di Radio Malaya. Itulah tuah saya. Pertama kali bertugas pada tahun 1959 di Bangkok mengulas sukan SEAP yang pertama diadakan. Itulah pertama kali saya ke luar negara. Sukan SEAP ini yang dianggotai enam negara iaitu Malaya, Thailand, Burma Vietnam, Laos dan Kemboja kemudian berkembang menjadi Sukan SEA.

Saya hanya sempat setahun menjadi pengulas sukan sehinggalah tahun 1960 apabila meneruskan pengajian peringkat ijazah di Australia. Selepas tamat pengajian di Melbourne selama lima tahun, saya kembali menjadi pengulas sukan pada tahun 1965 untuk televisyen yang baru dilancarkan ketika itu.

Kebetulan tahun itu saya diberi tugas sebagai pengulas sukan SEAP ke-4 yang pertama kali diadakan di Kuala Lumpur. Itu permulaan riwayat saya sebagai pengulas sukan televisyen sehinggalah bersara pada tahun 2006. Kali terakhir saya mengulas semasa Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur. Selepas itu saya teruskan kerjaya sebagai pengacara sehingga tahun 2006.

Sebagai bekas pengulas sukan terkenal selama lebih 30 tahun bagaimana perbezaan bolasepak negara sekarang berbanding ketika era kegemilangan tahun 1970-an dan 1980-an?

RAHIM: Berbanding dengan sukan-sukan lain seperti squash dan sukan renang, prestasi bola sepak negara begitu jauh ketinggalan berbanding era 1970-an dan 1980-an ketika Malaysia berjaya melahirkan bintang-bintang handalan seperti Mokhtar Dahari, Syed Ahmad, Ghani Minhat, M Chandran, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam serta lain-lain.

Walhal dalam bidang sukan lain kita boleh meningkat. Squash misalnya, Nicol David muncul jadi juara dunia. Pandalela Rinong juga boleh menang pingat perak, gangsa dalam sukan renang. Selepas Pandalela, Jun Hoong pula jadi ratu renang. Raih pingat emas dan muncul juara dunia.

Tapi, kenapa dalam sukan bola sepak kita tak ada pengganti? Itu yang saya hairan. Kenapa tidak ada pemain yang berminat hendak jadi macam Mokhtar Dahari misalnya?

Bagaimana perkembangan prestasi bola sepak Malaysia ketika itu berbanding sekarang?

RAHIM: Itulah persoalannya, orang bertanya apa salahnya dengan bola sepak kita sekarang? Kenapa pasukan yang dulu kita boleh pukul boleh kita belasah tapi sekarang ini boleh membelasah kita pula! Bukan itu sahaja mereka juga sudah begitu maju.

Korea Selatan, Jepun misalnya tidak pernah ketinggalan bertanding Piala Dunia. Bola sepak ke Olimpik juga tidak ada masalah bagi mereka setakat melayakkan diri. Walhal kita, Piala Dunia langsung tidak dapat dekat. Olimpik pula cuma dua kali layak iaitu 1972 dan 1980.

Apa sudah jadi dengan bola sepak kita? Saya pun tidak tahu di mana silapnya. Saya pun tidak tahu di mana perlu kita ubah sama ada dalam erti kata kemahuan dan semangat pemain kebangsaan. Saya mengaku tak faham. Saya tidak ada formula.

Saya hanya sebagai pengulas sukan saja. Soal-soal teknikal dan kejurulatihan ini bukan bidang saya. Tapi, dari pemerhatian saya kita dah mundur.

Sebagai pengulas sukan, saya banyak menyaksikan perlawanan dan aksi-aksi yang hebat melibatkan team Malaysia era 1970-an dan 1980-an. Era itu pasukan Malaysia digeruni bukan sahaja di peringkat Asia tetapi Malaysia pernah mengalahkan Arsenal pada Mei 1975 dan seri dengan England B dalam perlawanan persahabatan pada Mei 1978 di Stadium Merdeka.

Begitu juga Malaysia pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 1977. Itu emas pertama semasa Malaysia menjadi tuan rumah. Kita berjaya kalahkan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir tersebut. Bola sepak kita juga pernah menempa sejarah layak ke sukan Olimpik Munich 1972 dan Olimpik Moscow 1980. Itu semua sudah menjadi sejarah bola sepak bagi negara kita.

Begitu juga pada Ogos 1976, dalam kejohananan Pestabola Merdeka ke-20, Malaysia berjaya merampas semula trofi kejuaraan yang hilang pada Korea Selatan pada tahun sebelumnya. Malaysia berjaya mengalahkan Jepun 2-0 dalam perlawanan akhir.

Paling saya ingati apabila Mokhtar diumumkan sebagai penjaring terbaik Asia sekaligus merampas gelaran itu daripada penyerang Jepun, Kunishige Kamamoto. Era 1970-an, nama Kamamoto paling digeruni di Asia. Itulah kejayaaan Malaysia begitu membanggakan yang mencatat sejarah negara kita.

Boleh ceritakan antara perlawanan yang paling meninggalkan kesan sehingga sekarang?

RAHIM: Bola sepak sebenarnya memang banyak meninggalkan kenangan dalam hidup saya sebagai pengulas sukan terutama sekali perlawanan persahabatan Malaysia dengan England B pada Mei 1978 yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Ketika itu saya menjadi pengulas perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.Saya terkenang sangat perlawanan itu ialah sebab pertamanya ialah England B sifatkan team Malaysia sebagai team kampungan.

Keduanya, cara Mokhtar Dahari merembat gol sambil berlari begitu mengagumkan saya. Itu yang saya tak boleh lupakan sampai sekarang. Masa itu, England B antara pasukan bola sepak terkuat di Eropah.

Mereka datang ke Malaysia membawa banyak pemain bertaraf profesional bahagian satu Liga Bola sepak England. Kesudahannya Malaya seri 1-1 dengan England B.

Bagaimanakah corak permainan Malaysia dalam perlawanan itu secara keseluruhan?

RAHIM: England B memang sebuah pasukan yang kuat di bawah asuhan jurulatihnya, Bobby Robson. Mereka memang bermain dengan begitu baik, teratur dan kemas. Kesebelasan team kita juga bermain penuh kesungguhan, hantar bola tepat, mengejar sini, mengejar sana. Permainan menyeluruh.

Begitu juga pertahanan kita yang dikawal Chin Aun, Santokh Singh dan Jamal Nasir. Beberapa kali England B, melakukan serangan bertubi-tubi ke atas pertahanan Malaysia tetapi berjaya dipatahkan. Malaysia bermain cantik!

Apabila gol pertama England B jaringan Allan Kennedy pada separuh masa pertama, corak permainan Malaysia mula berubah rentak. Malaysia makin garang. Mokhtar Dahari berjaya melakuan beberapa rembatan kencang tapi sayangnya dapat ditampan penjaga gol, Joe Corrigan, antara pemain terbaik Eropah ketika itu.

Menariknya, ketika aksi perlawanan separuh masa pertama hanya tinggal beberapa minit berbaki,Soh Chin Aun berjaya mendapat bola, dan beliau terus berlari ke tengah padang melorongkan untuk Bakri Ibni. Kemudian, Bakri tolak kepada Reduan Abdullah.

Reduan leret pula bola itu kepada Shukur dan Shukur cuba dihalang pemain England B tapi berjaya melorongkan bola itu kepada Mokhtar. Bila Mokhtar dapat bola, beliau pun berlari dalam jarak 50 meter dari gol lawan, mengelecek pemain England B.

Sambil berlari, Mokhtar terus merembat kencang dalam jarak 40 meter ke arah kanan pintu gawang dan gol! Bola masuk menerjah sudut penjuru gol menewaskan Corrigan, penjaga gol Mancester City yang rebah melepasi jangkauannya.

Fantastik! Bobby Robson amat kecewa keputusan seri tetapi memuji Mokhtar Dahari sebab memiliki skil sebagai seorang pemain yang layak memasuki mana-mana kelab bola sepak di England.

Cara Mokhtar mengelecek bola kemudian melepaskan rembatan kencang 'on the run' itulah paling mengagumkan saya. Bagi saya banyak perkara menarik dalam perlawanan ini sebagai seorang pengulas sukan bola sepak tanah air.

Sebelum itu, Malaysia juga pernah kalahkan Arsenal sebuah kelab bola sepak Divisyen Satu di England. Pandangan tentang perlawanan persahabatan tersebut sebagai pengulas sukan?

RAHIM: Sama juga seperti perlawanan dengan England B, pada minit-minit terakhir babak pertama, Mokhtar tiba-tiba berjaya mendapat bola dan terus berlari merembat kencang menerjah ke arah gol Arsenal menewaskan penjaga golnya, Geoff Barnett.

Pada babak kedua, Mokhtar sekali lagi merembat masuk pada minit ke-77. Malaysia berjaya menewaskan Arsenal 2-0.

Sebenaranya banyak lagi babak-babak perlawanan menarik antara Malaysia yang pernah saya ulas di televisyen tapi sekarang sudah banyak beransur-ansur hilang dari ingatan saya.

Di manakah silapnya bola sepak negara kita?

RAHIM: Era 1990-an bermulanya rasuah bolasepak di Malaysia. Itulah detik bermulanya dan petanda kejatuhan bola sepak negara kita. Selepas itu, prestasi pasukan negara terus merudum.

Peminat bola sekarang pun sudah berkurangan. Saya tidak nampak orang berlari macam Mokhtar Dahari di atas padang. Bukan Mokhtar seorang saja. Yang lain-lain pun macam itu juga macam Syed Ahmad. Cara mereka mengejar bola lain. Penuh bersemangat. Sekarang, saya boleh nampak pemain macam tidak ada tenaga langsung dalam larian hendak kejar bola! Mana benih-benih yang melahirkan Mokhtar?Kenapa berbeza sangat dengan sifat-sifat senior mereka dulu? Cuba tanya balu Mokhtar? Bagaimana latihan yang dijalankan? Mokhtar berlatih tanpa di suruh, berlari sekian jauh, exercise, petang berlatih bersama pasukan Komitmen itu yang ramai tak ada.

Kesungguhan itu datang daripada disiplin dan komitmen. Kenapa tidak ada kemahuan dalam diri untuk menang seperti Mokhtar Dahari pernah tanam dalam dirinya? Mokhtar bila kalah, menangis. Menangis yang real bukan dibuat-buat. Saya sendiri pernah nampak! Sebab itu pemain kita tidak fit untuk bermain 90 minit. Itu beza corak pemain bola sepak dulu dan sekarang.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/lahirkan-ramai-mokhtar-dahari-1.516901#ixzz4qHeAFupW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan