N. THANABALAN berswafoto dengan
penyokong Malaysia selepas skuad negara menewaskan Indonesia 1-0, semalam.
28 Ogos 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 27 Ogos -
Penyerang Malaysia, N. Thanabalan mengakui dirinya tidak mempunyai kuasa magis
untuk menjaringkan gol sebaliknya berusaha keras dalam setiap sesi latihan
menajamkan lagi penyudah di hadapan gawang.
Thanabalan sudah meledak empat
gol sepanjang kempen Sukan SEA 2017 dengan tiga daripadanya di peringkat
kumpulan dan pemain berusia 22 tahun itu dilihat sebagai calon terbaik untuk
menjadi penjaring terbanyak Malaysia pada edisi kali ini.
“Saya tidak mempunyai magis
cuma berusaha, itu sahaja. Terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan
sokongan begitu juga dengan rakan-rakan saya.
“Jaringan saya banyak diperoleh
menerusi hantaran lintang dan sepakan sudut. Sekiranya kawan-kawan saya tidak
bagi bola macam itu kepada saya, tidak mungkin saya dapat menjaringkan gol.
“Menjadi penjaring terbanyak
bukan matlamat utama saya kerana yang penting kita menang demi Malaysia. Itu
lagi bagus,” katanya kepada pemberita selepas menjaringkan gol tunggal
perlawanan menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Tambah penyerang Felcra FC itu,
dia mengakui tandukan merupakan senjata kegemarannya berbanding melakukan
rembatan kerana beranggapan teknik tersebut lebih tepat dan sukar dibaca oleh
penjaga gol lawan.
“Menanduk bola adalah kegemaran
saya sebab saya kurang gemar menggunakan kaki. Sebelum ini, sudah banyak
jurulatih yang pernah mengajar saya berkata, antara kaki dengan kepala, kepala
lagi tepat sebab penjaga gol susah nak selamatkan. Rembatan boleh diselamatkan
tetapi dengan tandukan ianya sukar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai
pertemuan menentang Thailand dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil
pada Selasa ini, Thanabalan menggesa agar rakan sepasukannya memburu kemenangan
bagi membalas dendam selepas kecundang 3-0 sewaktu kempen Kelayakan Kejohanan
Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada bulan lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/thanabalan-tiada-magis-1.519966#ixzz4r0Gde7dj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan