N. Thanabalan menjadi wira
pasukan kebangsaan apabila menjaringkan gol untuk Malaysia mengalahkan
Indonesia dalam perlawanan separuh akhir acara bola sepak di Stadium Shah Alam
pada Sabtu lalu.
29 Ogos 2017 3:00 AM
Kuala lumpur 28 Ogos - WALAUPUN
popularitinya naik mendadak dan diangkat sebagai hero atas kejayaan bola sepak
Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA Ke-29 (KL2017), namun N.
Thanabalan tidak pernah sesekali bermegah dengan kejayaannya.
Menurut ibu kepada penjaring
terbanyak Malaysia dalam KL2017 itu, V. Thirusundari, anaknya bukan sahaja
membanggakan keluarga kerana pencapaian cemerlang dilakar di dalam sukan, malah
kerana sifat rendah dirinya yang tidak pernah berubah biarpun sudah meraih
populariti yang begitu hebat.
“Dia tidak pernah beritahu saya
setiap kali berjaya menjaringkan gol. Saya dapat tahu pun melalui suami (S.
Nadarajah) dan rakan-rakan kerana saya kurang meminati bola tetapi untuk
perlawanan ini (Malaysia mengalahkan Indonesia 1-0 saya datang juga kerana anak
saya.
“Saya tahu dia tidak ‘action’
(berlagak) dengan kehebatan diri dan suka merendah diri. Dia anak yang baik
walaupun nakal sedikit, saya suka dengan sikapnya itu,” katanya sambil
tersenyum.
Dalam pada itu, ketika ditanya
mengenai perasaannya selepas melihat Thanabalan menjaringkan gol ketika
menewaskan Indonesia, sekaligus membantu Malaysia layak ke pentas akhir bertemu
Thailand di Stadium Shah Alam esok, Thirusundari mengakui dia tidak senang
duduk menyaksikan perlawanan itu.
“Bila pasukan Malaysia layak ke
final, kami semua gembira, tak kisah siapa yang jaringkan gol, janji Malaysia
menang,” katanya.
Thirusundari, 52, buat pertama
kali hadir menyaksikan Thanabalan beraksi di Stadium Shah Alam ketika
perlawanan separuh akhir dengan Indonesia pada Sabtu lalu.
Ternyata kehadirannya
ditemani ahli keluarga dari Seremban berbaloi apabila anaknya berjaya
menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke
pentas akhir, selepas kali terakhir melakukannya ketika muncul juara di
Jakarta 2011.
“Saya tak biasa ke stadium,
tapi kali ini saya mahu beri semangat kepada Thana. Saya gembira dia jaringkan
gol tapi paling gembira sudah pasti ayah Thana,” katanya yang merancang untuk
datang ke stadium untuk menyaksikan final itu.
Thirusundari sudah tidak
bekerja kerana menguruskan suaminya yang terbabit dalam satu kemalangan pada
2013 sehingga mengakibatkannya lumpuh separuh badan.
Katanya, dia percaya Thanabalan
yang kini bertanggung jawab menyara keluarga tidak akan lupa diri biarpun kini
menjadi perhatian ramai.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/thanabalan-tidak-sombong-1.520386#ixzz4r5tun4Ao
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan