Jumaat, 18 Ogos 2017

Kim Swee sedia rombak skuad


 Ong Kim Swee
Ong Kim Swee

18 Ogos 2017 3:22 AM
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan merombak lagi kesebelasan utamanya untuk menghadapi Myanmar, yang dilihat sebagai pencabar terkuat mereka untuk perebutan juara Kumpulan A bola sepak lelaki Sukan SEA.

Myanmar kini menerajui kumpulan selepas dua perlawanan berbekalkan kelebihan jaringan ke atas Malaysia setelah masing-masing mengumpul enam mata.

Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara itu membuat percaturan berani dengan mengubah senarai pemain di hampir kebanyakan posisi ketika menang 2-1 ke atas Singapura malam tadi dengan dua pemain gantian Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan menjaringkan gol pada babak kedua.

Kim Swee sebelum itu menyenaraikan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, Jafri Firdaus Chew di bahagian serangan selain membuat perubahan di beberapa posisi lain.

“Jika lihat statistik menentang Brunei, penjaga gol Ifwat (Akmal Chek Kassim) melepaskan satu gol dengan sekali percubaan dan pada malam ini (malam tadi) saya tidak pasti berapa banyak percubaan yang dilakukan Singapura dan mereka berjaya mendapatkan satu gol.

“Saya lihat Ifwat dan Haziq tiada banyak perbezaan kerana mereka berada di tahap yang sama. Memang saya menukar kesebelasan utama dan itu memberi petanda bahawa setiap pemain perlu bersaing untuk merebut tempat. Mungkin untuk perlawanan seterusnya, kesebelasan utama akan bertukar lagi,” katanya.

Percaturan Kim Swee melakukan dua pertukaran pada awal babak kedua perlawanan malam tadi membuahkan hasil apabila skuadnya berjaya bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Singapura 2-1.

Muhamad Nor Azam dan Thanabalan menjaringkan gol, masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-73, untuk memadam kelebihan Singapura hasil jaringan Muhammad Amiruldin Muhammad Nodin pada minit ke-37.

Kemenangan itu mencerahkan peluang skuad negara untuk ke separuh akhir, tetapi Kim Swee enggan berasa terlalu yakin.

“Kita belum sampai sana lagi (separuh akhir) tetapi kita semakin menghampirinya. Sudah pasti kami perlu menewaskan Myanmar untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-sedia-rombak-skuad-1.516190#ixzz4q72s49Yq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan