Sabtu, 19 Ogos 2017

Skuad B-22 mahu pastikan Myanmar pulang hampa



 
KIM SWEE hanya mahukan kemenangan ke atas Myanmar.

SKUAD bawah 22 tahun (B-22) negara akan turun membuat perhitungan dengan Myanmar pada aksi ketiga peringkat Kumpulan A di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Perlawanan tersebut merupakan misi wajib menang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kerana ia akan menentukan hala tuju mereka pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad B-22 negara kini mengumpul 6 mata ma­nakala Myanmar mendahului carta Kumpulan dengan 9 mata selepas mencatat kemenangan da­lam tiga perlawanan yang mereka harungi setakat ini.

Aksi menentang Myanmar sentiasa sengit dan Ma­laysia tidak boleh memandang mudah terhadap kemampuan pasukan lawan itu.

Ketika kedua-dua pasukan bertembung pada kejohanan kelayakan Piala Konfede­rasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 lima tahun lalu, skuad negara pernah meng­alami kekecewaan.

Skuad kendalian Kim Swee ketika itu tewas kerana Myanmar telah melakukan penipuan dengan menurunkan beberapa pemain melebihi umur.

Begitupun, Kim swee sudah tidak mahu memikirkan insiden tersebut kerana dia ha­nya mahu memberi fokus terhadap persediaan mereka menentang Myanmar, Isnin ini.

Skuad negara hanya mahu menang kerana ia akan menjamin tempat mereka ke pusingan separuh akhir acara bola sepak, sekali gus merealisasikan impian untuk merampas pingat emas daripada Thailand.

“Saya sudah lupakan ke­kalahan pada pusingan kelayakan Piala AFC B-23 di Yangon pada 2012. Perkara lalu tidak perlu dikenang.

“Apa yang lebih mustahak bagi saya ketika ini adalah persediaan kita menjelang aksi menentang Myanmar.kami perlu me­raih tiga mata bagi mencapai objektif layak ke pusingan separuh akhir,” jelas Kim Swee semalam.

Ditanya mengenai kesebelasan utama yang bakal diberi kepercayaan pada aksi menentang Myanmar nanti, Kim Swee ma­sih belum ma­hu mendedahkannya.

Begitupun, besar kemung­kinan N. Thanabalan dan Azam Abdul Azih bakal diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan.

Dua pemain tersebut yang diturunkan sebagai pemain gantian pada perlawanan menentang Singapura, Rabu lalu telah menja­ringkan gol kemenangan buat skuad negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4qBcJC420
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan