Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
BEKAS penyerang bola sepak
kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap skuad bawah 22 tahun (B-22) negara
kendalian Datuk Ong Kim Swee dapat menebus kekecewaan final Sukan SEA Kuala
Lumpur 2001.
Beliau berkata, kekalahan 0-1
kepada Thailand, 16 tahun lalu, itu adalah antara yang perit dalam kariernya
tetapi dia percaya pemain muda negara boleh melakukan lebih baik apabila
bertemu juara bertahan itu sekali lagi di pentas akhir di Stadium Shah Alam,
Selasa ini.
“Aksi final ini kalau diikutkan
kekuatan pemain kedua-dua pasukan sama. Pada aksi separuh akhir bertemu
Myanmar, Thailand tidak terlalu kuat tapi Malaysia juga ada beberapa kelemahan
yang perlu diatasi terutama di bahagian tengah agak longgar.
“Saya ingatkan kepada pemain
supaya bersabar, jangan terlalu memikirkan untuk jaringkan gol dan cepat hilang
bola.
“Kita boleh berasa yakin tetapi
bukan terlampau yakin dan jika pemain boleh berikan aksi terbaik, Insya-Allah
kita boleh menang emas kali ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari
ini.
Malaysia layak ke final Sukan
SEA buat kali ke-12 sejak 1959 selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi
separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.
Ini kali kelima skuad negara
membuat perhitungan bagi pingat emas dengan Thailand selepas 1975, 1977, 1981
dan 2001 dengan rekod satu kemenangan dan tiga kalah.
Akmal yang menjaringkan satu
gol ketika menewaskan Indonesia 2-1 untuk mengesahkan tempat ke final Sukan SEA
2001 mengingatkan pemain supaya mengelak daripada melakukan kesilapan.
“Pada aksi final dengan
Thailand, kami diberi harapan tinggi sebab kami tidak pernah kalah dari
pusingan awal. Tetapi pada final, kami bermain dengan baik cuma kesilapan minit
akhir menghukum kami,” katanya yang pernah beraksi dengan kelab Perancis, RC
Strasbourg pada 1999-2001.
Pada final 2001, Malaysia
dikecewakan dengan jaringan Sarawut Treephan tiga minit sebelum perlawanan
tamat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 4:15 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan