Selasa, 4 Oktober 2016

Zaquan berlatih sendiri demi Malaysia

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  04 Oktober 2016 12:18 AM
PEMAIN Harimau Malaysia menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana
PEMAIN Harimau Malaysia menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Pe­nyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Zaquan Adha Abd. Radzak mengambil inisiatif apabila me­lakukan latihan secara bersendirian bagi memastikan dirinya kekal cergas untuk menghadapi aksi persahabatan menentang Singapura, Jumaat ini.
Zaquan dan dua lagi rakannya dari JDT II, Mohd. Irfan Fazail serta Darren Lok menyertai kem kebangsaan pada 27 September lalu, namun dipanggil pulang oleh majikan mereka sehari selepas itu kerana hanya dibenarkan me­nyertai latihan Harimau Malaysia empat hari sebelum perlawanan berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Zaquan bagaimanapun tidak melihat situasi itu sebagai satu masalah, sebaliknya tetap berlatih gigih bagi memastikan dirinya terpilih dalam kese­belasan utama dan dikekalkan untuk Piala AFF, November ini.
“Saya gembira dapat kembali menyertai latihan skuad kebangsaan. Walau apa pun yang berlaku sebelum ini kami sebagai pemain perlu melakukan tugas masing-masing.
“Bagi saya apa yang mustahak adalah fokus dalam latihan. Mana-mana pemain atau pasukan kalau beraksi dalam aksi persahabatan sudah pasti mereka mahu menang tambahan pula Malaysia bertemu Singapura. Mereka jiran kita dan kita kena menang demi maruah negara.
“Walaupun cuma aksi persahabatan, saya ambil serius supaya kami boleh beraksi lebih baik dalam Piala AFF.
“Saya melakukan latihan sendiri bagi mengekalkan kecergasan. Saya tidak boleh terlepas latihan sebab apabila kembali menyertai skuad kebangsaan ia akan mendatangkan kesukaran,” katanya di Wisma FAM hari ini.
Sementara itu, biarpun Si­ngapura dibarisi empat pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), namun pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tidak melihat perkara itu sebagai ancaman buat skuad kebangsaan.
Tonggak JDT, Hariss Harun, dua pemain JDT II, Mohammad Shahril Ishak serta Baihakki Khaizan dan Muhammad Safuwan Bharudin dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) antara 23 pemain yang dipanggil jurulatih Singapura, V. Sundram Moorthy bagi menghadapi Malaysia.
Situasi itu mampu menjadi kekuatan kepada Singapura ke­rana keempat-empat pemain tersebut boleh memberi maklumat berguna kepada Sundram dan arif dengan permainan rakan-rakan mereka dalam Liga M.
“Tiada bezanya. Walaupun mereka cukup arif dengan corak permainan kita, namun pemain Malaysia juga mengenali gaya pemain mereka.
“Ini bukan kelebihan untuk kedua pasukan. Yang penting, semua pemain tahu apa yang saya mahu mereka lakukan,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/zaquan-berlatih-sendiri-demi-malaysia-1.390317#sthash.WJKhGYx8.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan