MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 13
Oktober 2016 12:00 AM
Muhammad HADIN AZMAN (kiri)
menanduk untuk menjaringkan gol skuad negara ketika menentang Afghanistan di
Stadium Shah Alam semalam.
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Pemain
sayap kiri, Muhammad Hadin Azman belum berpuas hati dengan prestasinya biarpun
berjaya menjaringkan gol tunggal buat Harimau Malaysia ketika mengikat
Afghanistan 1-1 di Stadium Shah Alam, semalam.
Hadin yang mewakili Felda
United dalam saingan Liga Super turut memperagakan aksi cemerlang apabila
sering melakukan larian ke depan untuk memecah benteng pertahanan lawan.
Biarpun baru berusia 22 tahun
dan membuat penampilan kedua bersama skuad kebangsaan, namun dia tidak
menunjukkan rasa gugup, malah berharap dapat dipilih mewakili Malaysia dalam
Piala AFF Suzuki, November ini.
“Gol yang saya jaringkan malam
ini (semalam) adalah hasil kerjasama rakan sepasukan. Semua pemain memberi komitmen
tinggi dan beraksi dengan baik tetapi masih banyak yang perlu saya perbaiki
dari segi permainan.
“Keputusan ini bagus untuk
pasukan. Saya juga akan sentiasa beri yang terbaik sekiranya diturunkan dan
berharap dapat mewakili negara dalam Piala AFF nanti,” katanya.
Hadin yang pernah menarik
perhatian beberapa kelab Belanda semasa menyarung jersi Harimau Muda B
menyifatkan gol itu sebagai titik permulaan yang baik untuk kariernya di
peringkat antarabangsa.
“Pastinya ia pembakar semangat
untuk saya menjadi lebih baik. Saya akan terus berusaha mempertingkatkan tahap
permainan dan menimba sebanyak mungkin pengalaman bersama skuad negara.
“Sebagai pemain bola sepak
adalah menjadi impian saya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan. Kalau saya
diberi peluang itu, sudah tentu saya akan berusaha memberikan yang terbaik,”
katanya lagi.
Hadin sebelum ini turut
diturunkan sebagai pemain gantian dalam penampilan sulung bersama Harimau
Malaysia ketika seri 0-0 dengan Singapura, minggu lalu.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
13 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan