PENYERANG skuad Harimau
Malaysia, Mohd. Syazwan Zainon (kiri) berjaya melepasi kawalan pemain
Afghanistan, Modjieb Jamali pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam
malam tadi yang berkesudahan seri 1-1.
MUTU bola sepak Malaysia masih
belum menjanjikan masa depan yang cerah.
Selepas mengharungi dua
perlawanan persahabatan dalam tempoh seminggu, tidak banyak perubahan yang
boleh dibanggakan kecuali masih dalam situasi terkapai-kapai untuk mencari
rentak.
Pada Jumaat lalu, skuad Harimau
Malaysia sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura pada
aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura.
Malam tadi, skuad kendalian
Datuk Ong Kim Swee itu hampir dimalukan oleh negara yang sering dilanda
peperangan, Afghanistan (ranking 149)pada aksi persahabatan antarabangsa di
Stadium Shah Alam.
Pemain Afghanistan sebenarnya
tidak menikmati aktiviti sukan dengan tenang di negara mereka seperti mana yang
dilalui barisan pemain Malaysia (158), namun pasukan dari Asia Tengah itu masih
mampu memperagakan gaya permainan bola sepak yang mempesonakan.
Walaupun dalam keadaan serba
kekurangan, namun para pemain Afghanistan lebih berani berkelana ke Eropah
seperti Jerman, Sweden mahupun Itali demi mengembangkan bakat bola sepak
mereka.
Maka tidak hairan, kawalan bola
serta kebijaksanaan melancarkan gerak, sering kali memerangkap pemain Harimau
Malaysia pada aksi di Shah Alam malam tadi ketika para pemain pasukan tuan
rumah dilihat agak hilang momentum untuk memberi saingan.
Akibatnya, pasukan pelawat itu
berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-22 menerusi percubaan Noarollah Amiri dari
luar kotak penalti.
Namun, kedudukan tersebut
berjaya dipadamkan oleh pemain gantian Hadin Azman yang menjaringkan gol
penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Walaupun skuad negara tampil
lebih teratur pada separuh masa kedua, namun mereka tetap gagal meloloskan diri
untuk menambah jaringan ketika barisan pemain Afghanistan mula kelihatan letih.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1012&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4MrTFSWfN
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan