Jumaat, 7 Oktober 2016

Syafiq belum puas

 
PEMAIN negara meraikan jaringan Syafiq (no 3).
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua jaringan disumbangkan penyerang Skuad Projek Sukan SEA 2017, Syafiq Ahmad pada babak kedua ketika menentang pasukan kebangsaan Brunei malam kelmarin nyata melonjakkan semangatnya untuk terus merobek gawang lawan yang akan ditemui sekali lagi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi petang ini.

Syafiq, 21, yang terkenal dengan jolokan ‘The Silent Killer’ sepanjang bersama pasukan Kedah, sudah beberapa kali muncul sebagai wira apabila kerap menjaringkan gol biarpun hanya berstatus pemain gantian.


Ternyata, formula sama digunakan Frank Bernhardt apabila memasukkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada minit ke-64 dan sentuhannya jelas berbisa dengan meledak dua gol buat pasukan negara.

“Memang sebelum turun beraksi, saya dapat rasakan sesuatu yang saya akan menjaringkan gol cuma tak sangka sampai dua kali.

“Begitupun, tanpa kerjasama rakan sepasukan lain mungkin jaringan itu tidak dapat dilakukan. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan saya bertekad untuk membantu pasukan meraih kemenangan kedua esok (hari ini),” katanya yang sudah menjaringkan tiga gol.

Dalam aksi berlangsung kelmarin, Bernhardt mempertaruhkan formasi 4-2-3-1 dengan melancarkan beberapa serangan bertali arus namun dipatahkan barisan pertahanan lawan untuk separuh masa pertama berakhir 0-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia memecah kebuntuan pada minit ke-74 menerusi jaringan Syafiq yang baru 10 minit dimasukkan apabila dia tenang menyudahkan sepakan percuma Irfan Zakaria.

Syafiq kemudiannya melengkapkan kemenangan selesa skuad negara selepas memanfaatkan sepakan sudut pemain gantian, Syazwan Andik Ishak pada minit ke-84 untuk keputusan muktamad 2-0.

Sementara itu, Bernhardt memuji aksi anak buahnya terutama di babak kedua yang disifatkannya cukup baik dan tersusun berbanding separuh masa pertama.

“Bagi perlawanan ini, kita sebenarnya tidak berpeluang menurunkan enam atau tujuh pemain utama. Bagaimanapun, keadaan ini membuka ruang buat pemain muda kita untuk membuktikan kebolehan mereka,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:14 AM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan