Selasa, 4 Oktober 2016

Helmi sahut cabaran OKS



 
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Kedah Khairul Helmi Johari (gambar) bersedia untuk menggalas tugas mencabar bersama skuad kebangsaan meskipun sedar kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

Helmi antara muka baharu yang dipanggil oleh jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee bagi melengkapkan senarai 30 pelatih bagi kem latihan pusat kali ini untuk berdepan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional pada Jumaat ini dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Dengan masalah persaraan serta kecederaan pemain pertahanan, ia peluang terbaik buat kapten Kedah itu mencari tempat dalam pasukan ke Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November ini.

“Ia satu penghormatan dan saya fikir setiap pemain berat untuk menolak dan harus berasa bangga untuk menyertai kem kebangsaan.

“Bagi saya, terpulang kepada jurulatih untuk menilai mana-mana pemain kerana apa yang penting pemain harus bersaing sesama sendiri untuk membuktikan keupayaan.

“Namun, secara peribadi, saya agak terkejut dan secara tidak langsung, saya fikir tanggungjawab semakin besar kerana menjadi kapten di pasukan negeri (Kedah) pun bukan mudah. Jadi ini satu penghargaan dan setiap pemain mesti ada sasaran untuk sampai ke tahap ini,” katanya kepada pemberita, semalam.

Kehadiran Helmi akan memberikan Kim Swee lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah dengan Fadhli Shas, Ronny Harun, Shahrul Saad, Shahrom Kalam dan Khuzaimi Piee turut berada dalam senarai kali ini.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:56 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan