Khamis, 6 Oktober 2016

Kim Swee mahu aksi lebih baik hadapi Singapura

6 OKTOBER 2016
 Ong Kim Swee
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
PENGENDALI skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya tampil lebih baik berdepan Singapura dalam aksi Cabaran Tambak di Stadium Nasional, di sini malam esok.

Menurutnya pemain sedar tanggungjawab mereka dan berharap mampu menampilkan aksi lebih baik berbanding ketika menewaskan Timor Leste, Jun lepas untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019.

Kim Swee mengakui perlawanan menentang Singapura itu sangat penting bagi kedua-dua pasukan yang memburu keputusan baik.

"Ia pasti satu perlawanan yang menarik. Kedua-dua pasukan sedang membuat persiapan menghadapi Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean).

"Saya harap kedua-dua pasukan akan mendapat manfaat daripada perlawanan ini. Kami mahukan keputusan yang baik kerana matlamat utama adalah persiapan menghadapi Piala AFF," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perlawanan antara Malaysia dan Singapura malam esok adalah pertemuan kali ke-65 bagi kedua-dua pasukan.

Cabaran Tambak diadakan enam minggu sebelum sepak mula Piala AFF pada 19 November ini.

Kim Swee berkata barisannya yang terdiri daripada pemain muda dan muka baru juga memburu peluang membuktikan kemampuan bagi meyakinkannya memilih mereka untuk skuad Piala AFF nanti.

"Saya harap mereka mengambil peluang untuk membuktikan sesuatu. Berikutan banyak perubahan dalam pasukan...ia pasti mengambil masa untuk mereka mencari keserasian," katanya.

Skuad Harimau Malaysia akan menguji padang Stadium Nasional selama sejam mulai pukul 6 petang ini.

Sementara itu, ketua pasukan, Amri Yahyah mahu rakan sepasukan memberi komitmen penuh untuk perlawanan malam esok.

"Saya harap pemain lebih tenang. Sememangnya ramai pemain muda dan mereka ghairah untuk bermain. Harap esok mereka beri sumbangan kepada pasukan untuk pulang dengan kejayaan.

"Singapura tidak kalah semasa bertemu Jepun, jadi kita perlu berhati-hati. Harap semua pemain beri komitmen tinggi," katanya.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan masih berpihak kepada Malaysia yang menang

22 kali berbanding Singapura 19 kali manakala 23 kali lagi berakhir dengan seri.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah sewaktu Piala AFF pada November 2014 yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 di Stadium National. –Bernama

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE 6.10.2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan