12 OKTOBER 2016
Ong Kim Swee
SELEPAS gagal mencatatkan
kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut, pengendali skuad kebangsaan
Datuk Ong Kim Swee mahu fokus untuk memperkukuhkan barisan serangan negara.
Katanya, beliau perlu
memperbaiki kelemahan di bahagian serangan sebelum kempen Piala AFF Suzuki
bermula pada 19 November di Myanmar untuk mencapai sasaran iaitu mara ke
peringkat akhir.
"Saya percaya bahawa kita
sepatutnya menang perlawanan tadi, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan
oleh pemain pada separuh masa kedua. Saya akan fokus pada latihan untuk
memperbaiki dan mendapatkan corak serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan
pertama Piala AFF pada 21 November.
"Bagaimanapun saya cukup
kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan hari ini,"
katanya pada sidang media selepas seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang
Afghanistan di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.
Pada aksi malam ini,
Afghanistan yang menghuni ranking ke-149 dunia, terlebih dahulu membuka
jaringan pada minit ke-33 menerusi Noarollah Amiri sebelum Muhd Hadin Azman
menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.
Untuk rekod, dalam tiga
perlawanan terakhir, skuad Harimau Malaysia hanya menjaringkan satu gol pada
malam ini, selepas terikat tanpa jaringan bersama Singapura pada Jumaat lalu
dan tewas 3-0 kepada Indonesia 6 Sept lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih
Afghanistan, Petar Segrt kecewa dengan kurangnya kehadiran peminat tempatan
semasa perlawanan itu.
"Bagaimanapun, Saya
berpuas hati dengan prestasi anak-anak buah saya. Kami menguasai permainan pada
masa pertama, mempunyai peluang baik dan bermain dengan bersemangat. kami juga
gembira dengan menjaringkan gol pertama," katanya.
Malaysia hanya mencatatkan tiga
kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu dua kemenangan 3-0
ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun lalu
dan kemenangan keatas New Caledonia, yang kemudian tidak diiktiraf oleh FIFA
kerana kesilapan teknikal di pihak penganjur.
Skuad kebangsaan seterusnya
dijangka berhadapan dengan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua
New Guinea pada 14 Nov di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23
pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 November hingga 17 Disember ini. –
Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 12
OKTOBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan