Sabtu, 8 Oktober 2016

Harimau Malaysia masih belum temui rentak

8 OKTOBER 2016
Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin
SKUAD bola sepak Harimau Malaysia masih belum menemui rentak permainan yang dikehendaki untuk menjadikan mereka pasukan yang mantap, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Malah katanya, pertukaran yang terlalu banyak dilakukan pengendali, Datuk Ong Kim Swee menyebabkan permainan mereka kurang menarik.

"Mereka belum lagi menemui rentak permainan yang dikehendaki untuk berjaya di Piala AFF," katanya ketika diminta mengulas prestasi pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, Cabaran Tambak antara Malaysia dan Singapura malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura itu menyaksikan Harimau Malaysia sekadar seri tanpa jaringan dengan tuan rumah.

Aksi itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean) yang bermula 19 November depan.

"Walaupun kita tidak kalah, dari segi kawalan bola, ia didominasi pasukan Singapura. Saya rasa kita bernasib baik sebab tidak kalah semalam.

"Saya harap kita akan dapat lihat taktik permainan yang lebih bagus lagi daripada pasukan kebangsaan kita menjelang Piala AFF,"  kata Khairy. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 8 OKTOBER 2016


Tiada ulasan:

Catat Ulasan