Jumaat, 7 Oktober 2016

Kim Swee dijangka uji pemain muda

07 Oktober 2016 12:24 AM
ONG KIM SWEE (kanan) dan Amri Yahyah bersama ketua pasukan Singapura, Hariss Harun (dua dari kiri) d
ONG KIM SWEE (kanan) dan Amri Yahyah bersama ketua pasukan Singapura, Hariss Harun (dua dari kiri) dan jurulatih Singapura, V Sundramoorthy ketika sidang akhbar menjelang perlawanan di Singapura semalam. – ihsan FAM
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Jurula­tih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pertemuan menentang Singapura di Sta­dium Nasional, Singapura esok adalah platform terbaik untuk anak-anak buahnya mempamerkan kemampuan mereka sebelum menghadapi kejohanan Piala AFF yang bakal berlangsung pada November ini.
Kim Swee sedar menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan itu bukan tugas mudah tambahan pula banyak muka baharu membarisi skuad kebangsa­an ketika ini namun beliau ber­ka­ta Harimau Malaysia perlu men­dapat kemenangan esok untuk mendapat semangat sebelum menghadapi Piala AFF.
“Sudah pasti perlawanan esok akan menjadi menarik kerana kedua-dua pasukan sedang me­lakukan persiapan untuk menghadapi Piala AFF. Saya harap ke­­dua-dua pasukan mengambil kesempatan daripada pertemuan ini.
“Pertemuan ini penting sebab selepas ini kami akan ada dua lagi perlawanan sebelum Piala AFF dan sememangnya kami memerlukan suntikan motivasi sebelum menyertai kejohanan tersebut. Kami akan meletakkan kesebelasan terbaik untuk mendapat keputusan positif,” katanya.
Mengulas mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Kim Swee berkata beliau akan melakukan perubahan ke atas skuad yang kalah 3-0 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan pada 6 September lalu dengan memasukkan beberapa muka baharu.
“Bukan mudah (untuk menang). Kami dibarisi oleh ramai pemain muda ketika ini. Dengan perlawanan ini, kemudian menghadapi Afghanistan (11 Oktober) dan ada satu lagi perlawanan sebelum kami bermain dalam Piala AFF. Itu merupakan peluang kepada pemain untuk membuktikan mereka layak dipilih atau tidak.
Sementara itu, kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah berkata dia sedar ramai pemain muda teruja untuk beraksi mewakili Harimau Malaysia namun pada masa sama mengingatkan mereka agar tidak keterlaluan dan berusaha mencipta kemenangan.
“Saya sarankan kepada mereka agar bersabar kerana pemain muda sudah pasti teruja mahu beraksi. Saya harap mereka berikan sesuatu kepada skuad kebangsaan dan berharap kami pulang dengan kemenangan,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-dijangka-uji-pemain-muda-1.391546#sthash.2Pb3az0S.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan