10 OKTOBER 2016
ketua jurulatih kebangsaan,
Datuk Ong Kim Swee Ketua Jurulatih Pasukan Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee
dan Ketua Jurulatih Afghanistan, Peter Segtr bersama Ketua Pasukan Harimau
Malaysia, Badrool Bakhtiar dan Ketua Pasukan Afghanistan, Faysal Shayesteh
bertemu pada sidang media di Kelana Jaya hari ini. Perlawanan persahabatan
antara pasukan Malaysia dan Afghanistan. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN
ABDUL RAHIM
PERLAWANAN persahabatan
menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam esok menjadi medan terakhir bagi
pemain skuad kebangsaan untuk memikat hati ketua jurulatih kebangsaan, Datuk
Ong Kim Swee untuk mendapatkan tempat dalam skuad Piala AFF Suzuki 2016.
Kim Swee yang menyenaraikan
lima muka baharu dalam senarai 30 pemain pada 21 September lepas untuk dua siri
perlawanan persahabatan menentang Singapura pada Sabtu lalu dan Afghanistan,
mahu memberikan peluang kepada sebanyak mana pemain yang boleh sebelum
memutuskan senarai 25 pemain untuk kem latihan terakhir pada bulan hadapan.
Pasukan Harimau Malaysia itu
kemudian dijangka mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua
New Guinea pada 14 November di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai
23 pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 November hingga 17 Disember ini.
"Saya perlu membina
kombinasi baharu, beri mereka peluang untuk menarik perhatian saya dan pastikan
mereka tahu apa yang saya mahukan daripada mereka sebagai satu pasukan.
"Maka ini merupakan tempoh
terakhir bagi pemain untuk membuktikan kemampuan mereka," katanya pada
sidang media praperlawanan di Wisma FAM di sini, hari ini.
Lima muka baharu yang dipanggil
Kim Swee untuk kem latihan yang bermula 27 September lalu ialah Mohd Syazwan
Zainon dan Mohd Rizal Mohd Ghazali dari Kedah, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri
(Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) serta Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka).
Mengulas lanjut mengenai
perlawanan esok menentang pasukan yang menghuni kedudukan ke-149 dalam ranking
dunia, Kim Swee mahu para pemain mencipta kemenangan selain memahami konsep,
taktikal dan kaedah perlawanan yang diterapkan oleh beliau.
"Seperti yang kita tahu,
semua pasukan dari timur tengah memang mempunyai kekuatan yang seimbang di
semua bahagian, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pemain Afghanistan ini
sedang bermain di Liga Eropah.
"Selepas melihat aksi
mereka menentang Singapura dan Lebanon sebelum ini, saya boleh kata mereka
mempunyai pasukan yang seimbang di semua bahagian. Apa yang penting ialah kita
perlu elak daripada dibolosi," katanya.
Kim Swee turut mengesahkan
bahawa kebanyakan pemain berada dalam keadaan baik untuk perlawanan esok,
kecuali Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Khairul Helmi Johari yang
cedera.
Sementara itu, Baddrol Bakhtiar
yang mempunyai kebolehan bermain dengan kedua-dua belah kakinya, bersedia untuk
menggalas tugasnya mengikut rancangan Kim Swee.
"Saya tidak menghadapi
sebarang masalah untuk berganding dengan mana-mana pemain tengah yang lain
kerana sebagai seorang pemain saya sentiasa bersedia untuk menunjukkan aksi
yang baik tetapi mengambil satu atau dua perlawanan untuk mendapatkan
keserasian," katanya.
Dalam tiga aksi terakhir
Malaysia yang menghuni ranking dunia ke-158, seri tanpa jaringan dengan
Singapura (8 Okt), tewas 3-0 di tangan Indonesia (6 September) dan seri 1-1
dengan Fiji (26 Jun), manakala Afghanistan pula tewas 0-2 kepada Lebanon (5
September), menang 2-1 kepada Singapura (29 Mac) dibelasah 5-0 oleh Jepun (24
Mac).
Untuk rekod, Malaysia hanya
mencatatkan tiga kemenangan daripada 10 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu
dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia
2019 pada Jun lalu dan kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan menentang New
Caledonia, yang tidak diiktiraf oleh Fifa akibat kesilapan teknikal oleh pihak
penganjur. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 10
OKTOBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan