10 Oktober 2016 12:32 AM
ORANG ramai tidak melepaskan
peluang untuk bergambar bersama pemain Harimau Malaysia dalam sesi bersama
peminat di One Utama , Damansara semalam. UTUSAN/HALIM KHALID
KUALA LUMPUR 9 Okt. – Selepas
sekadar menjadi penonton di bangku simpanan ketika Harimau Malaysia seri dengan
Singapura minggu lalu, Ronny Harun dan Adam Nor Azlin bersedia diturunkan dalam
aksi persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
Bagaimanapun keputusan itu
terletak kepada percaturan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sama ada akan
melakukan rombakkan atau tidak.
Pemain tengah Selangor, Adam
berharap mendapat peluang untuk diturunkan, tambahan perlawanan itu berlangsung
di laman sendiri dan dia menyifatkan pasukan negara bermain dengan baik ketika
menentang Singapura Jumaat lalu.
Malah pemain berusia 20 tahun
itu, percaya rakan-rakan sepasukannya akan bermain habis-habisan untuk mencipta
kemenangan bagi meningkat moral pasukan.
“Bagi saya ia satu permulaan
baik setelah kita kalah kepada Indonesia.
“Harap pada perlawanan
menentang Afghanistan kita akan mencipta kemenangan bagi menaikkan moral
pasukan.
“Pada perlawanan seterusnya
kita tidak boleh jangkakan satu perubahan besar dilakukan jurulatih tetapi
semua pemain bersedia diturunkan,” katanya ketika ditemui pemberita di program
Hidup Lebih Mudah anjuran Telekom Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu
adalah penolong jurulatih negara, Hassan Sazali dan pemain iaitu Baddrol
Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan Hazwan Bakri.
Sementara itu, Ronny yang
bermain di posisi pertahanan juga bersedia diturunkan andai khidmatnya
diperlukan.
“Ketika bertemu Singapura
walaupun kita bermain di tempat lawan, tapi bagi saya kita menampilkan aksi
lebih baik berbanding bermain di Indonesia,” kata tonggak kental Sarawak itu.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
10 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan