PEMAIN B-22 Malaysia,
Thanabalan (kiri) diasak Mohammad Najib Tarif dari Brunei pada aksi
persahabatan antarabangsa.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Seremban: Skuad Projek Sukan
SEA 2017 kembali berada di landasan tepat untuk merampas semula ibu segala
pingat pada temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan apabila mudah
menumbangkan skuad kebangsaan Brunei 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Meskipun agak bergelut sebelum
mencatat kemenangan itu, prestasi skuad muda negara dilihat lebih baik
berbanding ketika tewas di tangan pasukan Bawah 22 (B-22) tahun Bahrain dua
bulan lalu yang menyaksikan anak buah Frank Bernhardt tumbang 1-2.
Paling mencuri tumpuan pastinya
penyerang Kedah Syafiq Ahmad yang wajar dijulang sebagai wira selepas meledak
dua gol buat tuan rumah sekali gus melegakan kem negara.
Pasukan negara tidak menunggu
lama untuk menguji kubu pelawat apabila dihadiahkan sepakan sudut pada minit
ke-13 namun percubaan N Thanabalan sekadar singgah di muka penjaga gol Brunei
Wardun Yussof dan ia sedikit melegakan kubu pelawat.
Brunei yang sedang
mempersiapkan pasukan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala AFF, 15 Oktober
ini turut berpeluang mencipta jaringan tetapi serangan pantas penyerang pelawat
Shah Razen sempat dihalang penjaga gol negara, Amierul Hakimi.
Jafri Firdaus Chew yang beraksi
bersama Pulau Pinang dalam saingan Liga Super hampir memecah kebuntuan jaringan
menerusi tandukannya pada minit ke-27 selepas menerima hantaran silang Syahmi
Safari namun tandukan Jafri sedikit tersasar.
Memasuki masa kecederaan babak
pertama, skuad kendalian Bernhardt sekali lagi memiliki peluang untuk
mendahului tetapi rembatan kencang Khairil Anuar tepat menuju ke dakapan Wardun
sekali gus menamatkan saingan di babak pertama tanpa jaringan.
Bagi menajamkan jentera depan
skuad negara, Bernhardt melakukan pertukaran di babak kedua dengan memasukkan
Syafiq yang menggantikan Jafri.
Ternyata congakan bekas
pengendali skuad remaja Estonia itu menjadi apabila Syafiq meledak gol pertama
buat skuad B-22 tahun negara menerusi tandukan selepas bijak menyambut baik
sepakan percuma rakan sepasukannya pada minit ke-74.
Syafiq boleh dianggap sebagai
duri dalam daging buat Brunei apabila dia sekali lagi merobek gawang pelawat
selepas mudah memanfaatkan sepakan sudut pada minit ke-83 hasil tandukan sekali
gus menjadikan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat masa penuh.
Kedua-dua pasukan dijadualkan
bertemu sekali lagi esok pada jam 5.15 petang di venue yang sama.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 6:40 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan