Jumaat, 7 Oktober 2016

Skuad Bernhart jinak Brunei di Paroi

KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 11:06 PM
Oleh Mohd Amin Jalil bhsukan@bh.com.my
 
PEMAIN Malaysia, Amirul Hisyam Awang Kechik (kiri) bersaing dengan pemain Brunei, Hairol Azaman Shah Abdullah pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: skuad bawah 22 tahun negara (B-22) menang ke atas skuad kebangsaan Brunei, 2-0, dalam aksi persahabatan antarabangsa, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi. Skuad bimbingan Frank Bernhart, berjaya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua, namun jelas banyak peluang jaringan yang terhidang, gagal disempurnakan dengan baik.

      Bagaimanapun, misi B-22 mendapatkan gol akhirnya berhasil pada minit ke-73 apabila bola tendangan bebas Amirul Hisyam berjaya ditanduk kemas pemain gantian Mohd Syafiq Ahmad. Mohd Syafiq yang juga pemain skuad Kedah kemudian berjaya melebarkan lagi jurang B-22 menerusi gol keduanya pada minit ke-83.

      Sebelum itu, peluang anak buah Berhardt mencipta jaringan terhidang pada minit ke-13, tetapi suasana kelam kabut dalam kawasan gol lawan itu, gagal dimanfaatkan dengan baik. Pada minit ke-20, Brunei hampir berjaya memecah kebuntuan melalui hantaran jauh, bagaimanapun kepantasan penjaga gol B-22, Amierul Hakimi Awang berjaya menyelamatkan keadaan cemas seketika.

     Amirul Hisyam kemudian hampir berjaya meletakkan B-22 di depan tetapi tandukannya yang menerima hantaran lintang daripada Thanabalan, sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Brunei. Kedua-dua pasukan dilihat memperagakan aksi pantas dalam usaha menembusi lawan masing-masing dan B-22 yang terpaksa menggunakan pemain baharu berikutan masalah kecederaan lima pemain utama, sering kali gagal melepasi pertahanan lawan sekali gus misi mendapatkan gol tidak kesampaian.

      Minit ke-38, Amirul Hisyam sekali lagi berjaya mendapat peluang tetapi sepakan dari jarak kira-kira 20 meter, tersasar. Skuad B-22 terus melakukan asakan bertali arus ke kubu lawan dan percubaan terbaik menerusi menerusi Ahmad Khairul Anuar pada minit terakhir separuh masa pertama, tetapi bola sepakannya tepat ke dakapan penjaga gol Brunei, Mohd Wardun Md Yusof.
      Bersambung babak kedua, anak buah Bernhart dilihat cuba memperkemaskan gerakan dalam usaha mendapatkan jaringan tetapi setiap kali serangan dilakukan mudah dipatahkan pertahanan lawan. sebaliknya, Amierul Hakimi terpaksa bekerja menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pemain Brunei. Usaha Brunei untuk merapatkan jurang tidak berhasil biarpun berusaha keras dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199603

Tiada ulasan:

Catat Ulasan