Khamis, 6 Oktober 2016

Brunei uji keampuhan skuad Bernhardt malam ini

06 Oktober 2016 12:26 AM
Frank Bernhadt menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar bersama
Frank Bernhadt menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar bersama Mohd. Ali Mustafa (dua dari kanan) dalam sidang akhbar perlawanan persahabatan skuad Bawah 22 di Seremban semalam.
SEREMBAN 5 Okt. – Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad senior Brunei malam esok bakal memberi peluang kepada ketua jurulatih skuad Bawah 22 negara Frank Bernhardt menguji kemampuan pemain muda bimbingannya.
Menurut Bernhardt, dia menjangkakan anak buahnya bakal menerima saingan yang sengit daripada pasukan lawan yang lebih berpengalaman dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Menurutnya, aksi seumpama itu amat sesuai dengan persiapannya untuk membentuk skuad yang lasak dan mantap bagi menghadapi Sukan SEA pada tahun depan.
“Pasukan Brunei dibarisi pemain senior dan ini menjadikan perlawanan esok (malam ini) akan menjadi lebih sengit. Saya akan melihat kelemahan yang ada dan kesesuaian posisi pemain pada masa ini.
“Perlawanan persahabatan ini juga memberi kesempatan untuk menguji pemain muda dan saya tidak akan membuat banyak perubahan berbanding ketika menentang skuad Bawah 22 Bahrain,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hari ini.
Ini adalah perlawanan persahabatan antarabangsa terbaharu yang dirancang sebagai persiapan skuad Bawah 22 negara menje­lang Sukan SEA nanti. Dalam perlawanan menentang skuad Bawah 22 Bahrain baru-baru ini, skuad negara tewas 2-1.
Sementara itu ketua jurulatih pasukan Brunei, Mohd. Ali Mustafa berkata para pemainnya masih dalam proses mencari keserasian dan tidak memandang rendah kemampuan pasukan Bawah 22 Malaysia.
“Matlamat kami adalah untuk menguji mental para pemain dan juga menghasilkan kerjasama dalam satu pasukan. Saya mengharapkan mereka dapat mencari keserasian dalam perlawanan itu.
“Saya percaya skuad bimbingan saya dapat bertahan dengan tempo permainan tinggi pihak lawan yang bermain secara agresif selain bagus dari segi strategi dan serangan,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/brunei-uji-keampuhan-skuad-bernhardt-malam-ini-1.391058#sthash.tWKDCKbR.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan