Jumaat, 7 Oktober 2016

Sundram Moorthy harap aksi sengit

 
PEMAIN kebangsaan memanaskan badan di Stadium Nasional, Singapura.
Pertembungan dengan Harimau Malaysia dianggap cukup istimewa bagi jurulatih Singapura V Sundram Moorthy yang akan membimbing pasukannya buat kali pertama di laman sendiri sejak dilantik Mei lalu.

Sundram Moorthy sudah mengendalikan pasukan dalam lima perlawanan sebelum ini dengan rekod satu kemenangan pada penampilan pertamanya menentang Myanmar 1-0 di Kejohanan Piala AYA BANK di Yangon sebelum tumpas dalam empat perlawanan selepas itu termasuk kepada Kemboja 1-2 di Phnom Penh.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu yang menyambut hari lahir ke-51 semalam mengharapkan ‘hadiah’ daripada anak buahnya namun beliau sedar kemenangan yang diharapkan bukan mudah apatah lagi berdepan musuh tradisi.

“Pertemuan dengan Malaysia sentiasa istimewa. Saya harap ia akan menjadi satu perlawanan menarik dan bagi Singapura kami mahu mendapatkan keputusan baik esok (hari ini).

“Perlawanan dengan Malaysia selalunya sukar. Malaysia datang untuk persediaan Piala AFF sama juga seperti kami. Saya jangkakan aksi sengit dan kami berharap dapat berikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra perlawanan itu semalam.


Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 6:34 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan